Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
KUANTAN, 21 JANUARI 2021: Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) menerima sumbangan Dana Wakaf Pahang Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) berjumlah RM100,000 dalam satu majlis di sini hari ini.
Majlis penyampaian dana berkenaan disempurnakan oleh Pengurus Besar Kanan Zakat dan Wakaf Pahang, YH. Dato’ Haji Halidan Md Daud kepada Rektor KUIPSAS, Prof Madya Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin.
YH. Dato’ Haji Halidan berkata, jumlah Dana Wakaf Pahang sehingga kini adalah RM9 juta dan sudah diagihkan kira-kira RM5.6 juta.
“Yang selebihnya sedang dirancang untuk diagihkan dan Alhamdulillah dapat awal kepada KUIPSAS iaitu jumlahnya sebanyak RM100,000 pada hari ini.
“Wakaf ini sangat mudah sekali, ia boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa halangan daripada segi waktu dan tempoh malah nilai minimum bayaran Dana Wakaf Pahang ialah RM5,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Sementara itu, Prof Madya Dr. Haji Mohd Zawavi menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terutamanya MUIP kerana memilih KUIPSAS untuk menerima sumbangan Dana Wakaf Pahang ini.
“Selain itu, pada hari ini juga saya menyerahkan borang wakaf warga KUIPSAS untuk potongan gaji. Warga KUIPSAS akan memotong gaji mereka untuk memastikan Wakaf Pahang ini dapat terus membangun,” katanya.
Sementara itu, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai Dana Wakaf Pahang ini boleh melayari laman sesawang ewakaf.muip.gov.my atau menghubung talian 09-5145151. – PAHANGMEDIA