Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin (tengah) pada Majlis Penyerahan Alat Pemadam Api di Taman Perumahan Rakyat Makmur, Gambang Jaya 2, Kuantan, hari ini.

KPKT DAN BOMBA AKAN LANCAR 1RAPI MAC INI

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 20 FEBRUARI 2021 : Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan melancarkan kempen 1 Rumah 1 Pemadam Api (1RAPI) Mac ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata ia bertujuan sebagai persediaan sekiranya berlaku kebakaran di kediaman.

“1RAPI akan di buat dalam bulan Mac ini, kita akan jemput pengerusi penduduk mendengarkan taklimat dan berkempen secara maya.

“…sudah tiba masanya rakyat kita dipertingkatkan ilmu pencegahan kebakaran dan juga penglibatan mereka dalam mencegah kebakaran.

“Jadi dengan adanya unit pemadam api ini sekiranya ada kebakaran dan sebagainya mereka akan cepat menggunakannya untuk memadamkan api untuk mengelakkan kemusnahan yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Alat Pemadam Api di Taman Perumahan Rakyat Makmur, Gambang Jaya 2, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, YH. Ir. Haji Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Beliau berkata pihaknya juga akan mengkaji untuk mewajibkan pihak pemaju supaya melengkapkan perumahan yang dibina dengan pemadam api.

“Jadi kemungkinan kedepan dalam masa setahun, mungkin kita akan mewajibkan pemaju-pemaju untuk melengkapkan kawasan perumahan dengan pemadam api di setiap rumah terutamanya rumah di atas tanah.

“Kosnya juga akan ditanggung terus oleh pihak pemaju. Jadi sudah tiba masanya kita menggalakkan rakyat Malaysia untuk ada pemadam api sama ada di rumah, kereta mereka, di bangunan pekerjaan mereka, mereka harus belajar untuk melengkapkan sebagai satu kelengkapan yang asas yang dimestikan, diwajibkan pada masa akan datang,” katanya.

Tambah beliau lagi, pihaknya juga telah meminta pihak bomba melalui dasar kebombaan untuk memberi tunjuk ajar cara penggunaan alat pemadam api ini.

“Jadi inilah diantara perkara kita minta bomba dan dalam dasar kebombaan juga kita minta pasukan bomba merakyatkan khidmat mereka.

“Maknanya turun padang, ajar kepada rakyat macam mana nak guna pemadam api dan betapa pentingnya ada pemadam api di rumah dan itu yang telah kita bentangkan dalam dasar kobombaan negara.

“Dekat sekolah juga kita dah ada Kelab 3K untuk tadika, pengakap untuk sekolah rendah, sekolah menengah kita ada kedet bomba dan universiti ada bomba siswa bagi tujuan ini,” katanya.

Menurut beliau lagi, sudah tiba masanya rakyat memainkan peranan untuk mencegah kebakaran pada peringkat awal tanpa menunggu pihak bomba.

“…dah tiba masanya rakyat Malaysia juga memainkan peranan untuk memastikan bahawa kebakaran dapat di cegah dari peringkat akar umbi, dari peringkat penghuni itu sendiri, tak payah tunggu bomba datang baru nak tolong padam dan akan sebabkan banyak kemusnahan akan terjadi,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download