Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, YB. Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi (empat kiri) bersama Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dato’ Sri Hasnol Zam Zam Ahmad (tiga kanan) dan Pegawai Daerah Lipis, YH Dato' Mohd Hafizi Ibrahim (tiga kiri) dihadapan Rovr by Petronas bagi memudahkan pengguna mengisi minyak di kawasan terjejas teruk akibat banjir.

KPDNHEP, PETRONAS DAN PEJABAT DAERAH LIPIS SEDIA PEMBEKALAN MINYAK SECARA MOBILE

Oleh : Fansurina Abdullah

KUALA LIPIS, 6 JANUARI 2021 : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan usahasama bersama Petronas bagi menyediakan kemudahan pembekalan minyak secara mobile di kawasan-kawasan terjejas banjir.

Menterinya, YB. Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya bersama Petronas telah bersetuju menyediakan kemudahan tersebut di kawasan yang dikenalpasti terjejas dari segi pembekalan minyak ekoran bencana banjir yang sedang melanda sembilan daerah di negeri ini.

Daerah Lipis antara daerah yang dikenalpasti terjejas teruk apabila lima stesen minyak yang beroperasi di daerah itu ditenggelami air banjir dan mengalami banyak kerosakan sehingga mengakibatkan semua agensi, jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk sekitar terputus bekalan minyak petrol.

“Rovr by Petronas ini akan beroperasi sehingga seminggu kerana stesen minyak yang berdekatan ini memerlukan masa tujuh hari untuk membaikpulih supaya dapat beroperasi semula,” katanya kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika ditemui pada Lawatan Pemantauan Menteri KPDNHEP, YB. Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi untuk Program Pembekalan Minyak Secara Mobile (ROVR By Petronas) di Pejabat Daerah dan Tanah Lipis, di sini, petang tadi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, YB. Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi melihat seorang pengguna menggunakan perkhidmatan Rovr by Petronas di Pejabat Daerah dan Tanah Lipis, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dato’ Sri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pegawai Daerah Lipis, YH Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

Katanya, jarak dua lagi stesen minyak yang terdapat di daerah itu adalah sejauh 25km di Kampung Kechau dan 35km di Felda Sungai Koyan dan keadaan ini menyukarkan penduduk terutama apabila kebanyakan laluan terputus akibat banjir besar yang melanda daerah itu, baru-baru ini.

Program seumpama ini merupakan langkah proaktif kementerian terbabit menerusi usahama antara Petronas dan Pejabat Daerah dan Tanah Lipis.

Ia juga sangat bermanfaat dan akan diteruskan pada masa akan datang serta diperluaskan ke kawasan-kawasan lain yang turut terjejas teruk ekoran bencana banjir serta menghadapi masalah pembekalan petrol.

Usaha ini bukan sahaja dapat melancarkan gerakan bantuan daripada barisan hadapan untuk membantu mangsa banjir malah turut membantu penduduk mendapatkan bekalan petrol bagi aktiviti harian.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Hasnol berkata, sehingga kini sebanyak 18 stesen minyak di seluruh Pahang yang terjejas teruk ekoran bencana banjir yang sedang berlaku.

“Rovr By Petronas ini akan ditempatkan di kawasan yang dirasakan memerlukan dengan permintaan tinggi bagi kemudahan semua khususnya NGO yang menjalankan kerja-kerja bantuan kepada mangsa banjir,” kata Dato’ Sri Hasnol Zam Zam Ahmad. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 684 total views,  3 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download