Pengarah KPDNHEP Pahang, YH. Dato’ Mark Ujin (kanan) sedang memeriksa pakaian sekolah di sebuah pasaraya ketika pelaksanaan Ops Catut 8.0 di daerah Kuantan.

KPDNHEP LAKSANA OPS CATUT 8.0 MELIBATKAN PAKAIAN SEKOLAH

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 14 JANUARI 2021: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang melaksanakan Ops Catut 8.0 melibatkan operasi berkaitan pakaian sekolah.

Pengarahnya, YH. Dato’ Mark Ujin dalam satu kenyataan media berkata operasi yang bermula pada 23 Disember sehingga 7 Mac 2021 ini bertujuan untuk memantau dan memastikan setiap peniaga tidak menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

“Ekoran daripada keluhan rakyat berhubung harga kelengkapan persekolahan yang semakin meningkat, KPDNHEP Pahang telah melaksanakan Ops Catut 8.0 ini

“Ia juga bagi memastikan peniaga mematuhi Peraturan-peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018,” katanya.

Pegawai KPDNHEP Pahang yang diketuai Pengarahnya, YH. Dato’ Mark Ujin sedang memeriksa pakaian sekolah di sebuah pasaraya ketika pelaksanaan Ops Catut 8.0 di daerah Kuantan.

Menurut beliau lagi, sehingga kini, sebanyak 30 premis perniagaan peringkat peruncit telah diperiksa di seluruh negeri ini.

“Pemeriksaan melibatkan sepuluh barangan kelengkapan sekolah seperti baju dan seluar sekolah menengah dan rendah, baju kurung dan kain sekolah menengah dan rendah, tudung, kasut dan beg sekolah,” katanya.

Tambah beliau lagi, pihak KPDNHEP juga telah bertindak meningkatkan pemeriksaan ke atas premis-premis perniagaan utama di negeri ini bagi memastikan barangan keperluan asas pengguna sentiasa mencukupi dan tidak berlakunya manipulasi harga oleh peniaga.

“Seramai 142 orang anggota Penguatkuasa daripada lima cawangan KPDNHEP Pahang telah digerakkan ke premis-premis perniagaan utama yang menjadi tumpuan pengguna seperti di pasar-pasar awam, pasaraya dan kedai-kedai runcit.

“Pemantauan dan pemeriksaan juga dilakukan di peringkat pemborong dan pengeluar bagi memastikan kesinambungan rantaian bekalan barangan keperluan asas pengguna seperti gula putih kasar bertapis, minyak masak, tepung gandum, beras dan telur,” katanya.-PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 221 total views,  3 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download