KORONAVIRUS: KERAJAAN NEGERI TEMPAT PENGIMBAS HABA DI TIGA PINTU MASUK ANTARABANGSA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim

JERANTUT, 29 JANUARI 2020 : Kerajaan Negeri telah menempatkan tiga pengimbas haba di tiga pintu masuk antarabangsa di negeri ini bagi mengesan kemasukan pelancong yang berkemungkinan membawa 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV).

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata mesyuarat dan taklimat khas mengenai virus ini membincangkan tindakan bersepadu yang perlu diambil oleh setiap agensi terlibat di negeri ini walaupun tiada sebarang kes direkodkan di negeri ini.

“Pahang telah menempatkan tiga pengimbas haba di tiga pintu masuk antarabangsa iaitu di Pelabuhan Kuantan, Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS) dan Jeti Tekek, Pulau Tioman.

“Perbicangan juga turut dilakukan dengan Pelabuhan Kuantan, LTSAS dan Taman Industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP) berkaitan langkah- langkah siapsiaga yang perlu diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar Pahang Bersama-sama Pemimpin Masyarakat Daerah Jerantut Serta Pelancaran Penyerahan Watikah Lantikan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) dan Penyerahan Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang Kepada JKKK Peringkat Negeri Pahang di Dewan Majlis Daerah Jerantut di sini hari ini.

Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, YH. Dato’ Mohd. Zakaria Ibrahim; Pengarah Tanah dan Galian Pahang, YH. Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan Yang DiPertua Majlis Daerah Jerantut, YM. Tengku Khairul Zahirah Tengku Kamaludin.

Beliau berkata mesyuarat yang dijalankan juga telah memutuskan untuk melakukan tiga peringkat langkah-langkah saringan virus 2019-nCoV di negeri ini.

“Pertama, adalah saringan di pintu-pintu masuk utama negeri seperti di lapangan terbang, pelabuhan dan jeti.

“Seterusnya, adalah saringan di peringkat klinik-klinik kesihatan dan hospital serta pemantauan proaktif ke hotel atau tempat penginapan pelancong-pelancong dari negara terlibat,” katanya.

Beliau berkata pihak kerajaan negeri turut dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan mengenai Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sebagai hospital rujukan bagi merawat virus itu di negeri ini.

“Selain itu, kita juga akan melakukan kawalan bersama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam, dan Jabatan Imigresen di pintu-pintu masuk. Sebarang pemakluman berita juga adalah daripada Jabatan Penerangan berdasarkan maklumat sah daripada Kementerian Kesihatan sahaja.

“Sebarang aktiviti-aktiviti sukan seperti larian antarabangsa yang melibatkan warga asing memerlukan dokumen kesihatan sokongan daripada Jabatan Kesihatan,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya memastikan kesihatan dan kebersihan diri serta mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan yang ada sekiranya mengalami simptom batuk atau demam.

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: