Komitmen Tinggi Kerajaan Negeri Dalam Menjamin Kelestarian Cameron Highlands

KUALA LUMPUR : Kerajaan Pahang hari ini mengulangi komitmennya untuk terus berusaha bagi memelihara dan memulihara, serta membangunkan kawasan tanah tingggi Cameron Highlands secara lebih lestari.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, komitmen itu diberikan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan bersama oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan beliau, di Bangunan Utama, Parlimen di sini, hari ini.

Menurutnya, sehubungan itu, Kerajaan Pahang mengalu-alukan keputusan menempatkan anggota-anggota keselamatan dalam kalangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), sepanjang operasi penguatkuasaan khususnya ‘Ops Lestari’ dilaksanakan di kawasan tanah tinggi itu.

“Kehadiran anggota-anggota ATM dan PGA ini ialah untuk tujuan kawalan keselamatan, rondaan serta ‘show of presence’ mereka yang dengan itu diharap, dapat menangani dan mengatasi isu-isu berkaitan pencerobohan tanah secara haram,” katanya menerusi kenyataan media selepas mesyuarat tersebut.

Beliau berkata, bagi memudahcarakan aspek penempatan ini, Kerajaan Pahang mengenal pasti kuarters Kerajaan di Sungai Burung, Brinchang bagi maksud tersebut. Kos pembaikan dan penyediaan utiliti ditanggung oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands

Menurutnya, Kerajaan Pahang juga telah meluluskan peruntukan RM150,000 yang disalurkan menerusi Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PDTCH), bagi menampung keperluan makan-minum serta bekalan minyak kenderaan anggota-anggota keselamatan ini.

“Peruntukan RM150,000 ini ialah untuk tempoh antara bulan Disember ini (2019) hinggalah bulan Mac tahun depan (2020). Bermula April 2020, peruntukan ini akan disediakan sendiri oleh masing-masing ATM dan PGA,” katanya.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy juga berkata, sebagai tambahan kepada peranan ATM dan PGA, Kerajaan Pahang juga telah meluluskan penubuhan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang menggabungkan agensi-agensi penguatkuasaan Kerajaan Pahang untuk turut membantu.

“Sepertimana kita sedia maklum, operasi penguatkuasaan Fasa 2 ‘Ops Lestari’ yang berjalan sebelum ini pada April 2019 khususnya di Sungai Ichat, telah tertangguh ekoran tindakan injunksi yang diambil oleh 28 pekebun kecil.

“Bagaimanapun pada 30 September 2019, injunksi ini telah ditarik balik yang membolehkan kerja-kerja penguatkuasaan dilaksanakan semula, melibatkan kawasan seluas 97.12 hektar (240 ekar).

“Ini merupakan sambungan kepada Fasa 1 ‘Ops Lestari’, melibatkan tanah seluas 24.28 hektar (60 ekar), yang bermula 25 Februari dan selesai dilakukan dengan jayanya pada 19 Mac 2019,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan perancangan pembangunan yang mampan serta lestari di Cameron Highlands, sebuah perbadanan khusus telah diwujudkan dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH).

Menurutnya, Enakmen Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands telah dibentang dan diluluskan pada persidangan Dewan Negeri Pahang pada 22 November 2019.

“Selain berperanan untuk mempromosi daerah Cameron Highlands sebagai pusat perdagangan, pelaburan dan logistik serta destinasi pelancongan, PKCH juga antara lain turut berperanan untuk merangsang pembangunan sosio-ekonomi, infrasturktur, kediaman dan pertanian.

“Saya sendiri akan mempengerusikan PKCH, dibantu oleh Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai Timbalan Pengerusi; manakala Anggota Perbadanan lain ialah lima wakil Kerajaan Pahang, tiga wakil Kerajaan Persekutuan serta dua wakil dalam kalangan pakar dan professional,” katanya.

Dalam pada itu, Kerajaan Pahang juga telah mengambil beberapa lagi keputusan penting berkaitan kawasan tanah tinggi Cameron Highlands.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy menjelaskan, kesemua tanah pertanian yang diberikan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) sebelum ini – sebanyak 78 hakmilik yang berkeluasan kira-kira 5,519 hektar (13,637.75 ekar), telah diberi milik kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang, yang kemudian akan menyewakannya dalam tempoh yang ditetapkan, kepada para pekebun.

Menurutnya, pekebun yang hendak menyewa tanah PSK ini mesti memperolehi sijil MyGAP (Malaysian Good Agricultural Practice) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian sebelum kebenaran menyewa atau memperbaharuinya diberikan.

“Unit Kawal Selia MyGAP di bawah anak syarikat Kerajaan Pahang – Pahang Corporation Sdn Bhd, telah ditubuhkan bagi melaksanakan kerja-kerja mengawal selia aspek pematuhan kepada kriteria yang ditetapkan oleh MyGAP.

“Bagi menjamin pengurusan cerun yang lebih cekap, kesemua ‘sheltered farming’ (rumah plastik) yang didirikan oleh pekebun, perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH).

“Penggunaan jentera berat pula perlu mendapat permit daripada sebuah jawatankuasa teknikal yang diwakili oleh PDTCH, MDCH, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perhutanan dan Jabatan Kerjaraya (JKR),” katanya.

Beliau juga berkata, kawasan di Sungai Ichat dan sekitarnya yang berkeluasan 121.12 hektar (300 ekar), telah diluluskan bagi maksud pengwartaan sebagai Hutan Simpan Sungai Ichat, dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 13 Mac 2019.

Menurutnya, seluruh kawasan dalam daerah Cameron Highlands telah diluluskan bagi maksud pengwartaan sebagai kawasan operasi MDCH dalam mesyuarat MMK pada 17 September 2019.

“Pengwartaan seluruh Hutan Simpanan Kekal (HSK) Batu Gangan, HSK Batu Gangan Tambahan, HSK Hulu Ichat, dan HSK Sungai Terla B yang seluas kira-kira 2,289.62 hektar (kira-kira 5,657.77 ekar) sebagai Taman Negeri.

“Pasukan ‘task force’ ditubuhkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang bagi menyelenggara program tanaman semula hutan khususnya di kawasan-kawasan rizab sungai,” katanya.

Beliau mengharapkan dengan langkah-langkah yang jitu dan padu yang telah ditetapkan ini, Cameron Highlands akan dapat mengembalikan kegemilangannya sambil menjamin kelestariannya.

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: