Yang Dipertua MPK, YH. Dato’ Hamdan Hussin mengetuai lafaz ikrar pada Program Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) 2020 di Kompleks Ibu Pejabat MPK.

KOLABORASI MPK DAN SPRM TANGANI RASUAH

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 9 DISEMBER 2020 : Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Yayasan Antirasuah Kebangsaan (YARM) komited berusaha menangani rasuah di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Yang Dipertua MPK, YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, PBT sering ditempelak dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah kerana sentiasa berurusan melibatkan ramai awam.

Justeru, program seumpama ini adalah bermanfaat dalam menangani isu terbabit di samping dapat membersihkan nama PBT daripada dikaitkan dengan isu rasuah.

“Saya menyeru agar semua warga MPK patuh kepada undang-undang supaya terhindar dan tidak terlibat dengan gejalan rasuah ini,” katanya pada sidang media selepas Program Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) 2020 di Kompleks Ibu Pejabat MPK, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah SPRM Negeri Pahang, YH. Encik Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim.

Pada program itu turut diadakan lafaz ikrar dan tandatangan ikrar bebas rasuah oleh YH. Dato’ Hamdan, penyerahan bahan kempen HARA 2020, penyerahan amanat HARA 2020, pelancaran tinjauan HARA 2020 melalui pautan kod QR dan aktiviti penanaman pokok di Laman Integriti MPK.

Dato’ Hamdan berkata, MPK juga turut melaksanakan beberapa langkah bagi pencegahan kegiatan rasuah yang melibatkan warga MPK dengan memastikan seseorang pekerja tidak ditempatkan bagi sesuatu jawatan dalam tempoh yang lama.

Selain itu, MPK turut melaksanakan sistem atas talian bagi sebarang urusan dan permohonan bagi mengurangkan proses pertemuan ketika menyelesaikan sebarang pekerjaan itu.

Bagi perlaksanaan sebarang operasi atau tindakan penguatkuasaan pula, MPK akan melibatkan kerjasama dengan jabatan dan agensi lain secara bersepadu bagi memastikan usaha lebih telus dan bersih.

“MPK juga turut mengadakan pelbagai program dan kursus untuk kakitangan bagi memupuk kesedaran dan pembentukan akhlak bagi mewujudkan jiwa yang bersih di dalam menggalas amanah melaksanakan tugas masing-masing,” katanya.

Beliau berharap agar warga MPK akan mencapai ‘Sifar Rasuah’ dan tidak terlibat dengan sebarang gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa sehingga mencemar nama baik pihak berkuasa di mata masyarakat. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 786 total views,  3 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download