Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 22 MAC 2020 : Klinik swasta akan beroperasi seperti biasa bermula esok di enam daerah walaupun masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan COVID-19 sehingga 31 Mac ini.
YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Dr. Sallehuddin Ishak berkata pembukaan klinik swasta seperti biasa ini bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di klinik kerajaan yang ada.
“Kerajaan Negeri telah bersetuju supaya Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Majlis Perbandaran Bentong (MPB), Majlis Daerah Pekan (MDP), Majlis Daerah Jerantut (MDJ) dan Majlis Daerah Cameron Highlands menentukan semua klinik swasta dibenarkan beroperasi mengikut waktu operasi biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.
“Arahan ini berkuatkuasa mulai 23 sehingga 31 Mac ini atau sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan di tarik balik,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah mengambil maklum mengenai pindaan ini dan arahan ini akan diperluaskan mengikut keadaan semasa di negeri ini. – PAHANGMEDIA