Menteri Kesihatan YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba (dua dari kanan) bersamacalon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Encik Mohd Sharim Md. Zain ketika mengadakan lawatan lawatan ke Klinik Kesihatan Chini di Pekan hari ini.

KKM BERI KHIDMAT TEKNIKAL BANTU SPR BAGI PRK CHINI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 29 JUN 2020 : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberikan perkhidmatan teknikal bagi membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DN) Chini.

Menteri Kesihatan, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba berkata perkhidmatan teknikal tersebut meliputi penggunaan pelindung PPE dan penjarakan sosial serta kaedah yang selamat digunakan di pusat mengundi.

“Jadi KKM telah pun berbincang dengan SPR dan kita sedia membantu dari segi teknikal. Pihak KKM sudah membuat keputusan dan telah pun memberikan khidmat teknikal kepada pihak SPR.

“Pertama, penggunaan pelindung PPE, dan juga elemen-elemen penjarakan sosial serta bagaimana kertas undi tu boleh dibuat melalui kaedah-kaedah yang paling selamat supaya tiada risiko jangkitan COVID-19 di mana-mana juga dalam kawasan yang kerap disentuh atau dilawati oleh pengundi atau pun kakitangan-kakitangan SPR,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke Klinik Kesihatan Chini, di sini hari ini.

Menteri Kesihatan YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba (tengah) ketika mengadakan lawatan lawatan ke Klinik Kesihatan Chini di Pekan hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan II yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, YB. Mohd Shahar Abdullah; dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Encik Mohd Sharim Md. Zain.

Beliau berkata pihak KKM juga akan meletakkan petugas kesihatan di pusat-pusat mengundi namun jumlah mereka tidaklah besar.

“Bagi meletakkan petugas KKM (di pusat-pusat mengundi), kita dah lihat beberapa tempat untuk mengawal.

“Kita tak perlukan kakitangan yang ramai (di pusat mengundi) kerana SOP yang telah pun ditetapkan in place itu telah disiapkan,” katanya.

Beliau berkata pihak KKM juga akan turut membantu dari segi pergerakan pengundi yang bergejala atau positif COVID-19 untuk mengundi.

“Kita tahu dalam Pilihan Raya, SOP itu penting. Kita pun dalam Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) Pemulihan, jadi masih lagi kita terikat dengan guideline atau pun SOP untuk memastikan bahawa pengundi-pengundi yang ada gejala, pengundi-pengundi yang mungkin ada kes COVID yang baru dikesan, dan juga kalau pengundi awal, mereka yang ada di hospital sekarang, bagaimana kita nak mobilise mereka kerana mereka juga ada hak untuk mengundi,” katanya.

Untuk rekod seramai 20,990 pemilih berdaftar terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal terlibat dengan PRK Chini ini di 14 pusat mengundi. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download