Ketua UMNO Bahagian Sembrong, YB Dato' Sri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengadakan lawatan ke Kampung Orang Asli Gumum, Chini, Pekan, hari ini.

KIRA-KIRA 9,000 PENGUNDI LUAR DIJANGKA PULANG BAGI PRK CHINI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mahathir Ali

PEKAN, 28 JUN 2020 : Kira-kira 9,000 pengundi luar dijangka pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini ini.

Ketua UMNO Bahagian Sembrong yang juga Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ini berdasarkan maklumbalas yang diterimanya ketika membuat lawatan ke rumah.

“Feedback (maklum balas) yang saya terima, kebanyakan mereka (pengundi) telah berapa minggu lockdown tak keluar rumah. Dan rata-rata bila saya buat lawatan rumah ke rumah, ramai yang buat keputusan untuk kembali untuk mengundi.

“(Mereka) ambil kesempatan PRK ini untuk balik untuk mengundi. Jadi saya mengalu-alukan dan saya harap seramai mungkin dapat balik untuk menunaikan sebenarnya tanggungjawab dan hak mereka untuk menentukan calon yang mewakili mereka di Dewan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke beberapa perkampungan orang asli di Kampung Gumum, Chini, di sini hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Sembrong, YB Dato’ Sri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengadakan lawatan ke Kampung Orang Asli Gumum, Chini, Pekan, hari ini.

Beliau tiba bagi membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Chini N23, Encik Mohd Sharim Md. Zain.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Haji Hasni Mohammad; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad yang juga Ahli Parlimen Lipis; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, yang juga ADN Batu Talam, YB. Dato’ Abd. Aziz Haji Mat Kiram; dan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, yang juga ADUN Kuala Sentul, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin.

Beliau berharap PRK DN Chini ini juga dapat menjadi medium bagi menjawab tuduhan tidak berasas sesetengah pihak mengenai tahap sokongan dan perpaduan di dalam parti.

“Jadi nak sampaikan mesej sejelas-jelasnya, tuduhan-tuduhan bahawa kita tak bersatu, kita tak ada sokongan di bawah, mungkin ini sedikit sebanyak boleh dijawab dalam PRK Chini ini,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa berpuas hati dengan kesungguhan dan pergerakkan jentera bagi PRK ini.

“Sehari suntuk saya turun ke Chini dan Alhamdulillah saya nampak bukan sahaja jentera kita telah bersedia tetapi bersungguh-sungguh walaupun orang kata bahawa kita tak mempunyai masalah untuk menang di Chini.

“Tetapi saya telah mengingatkan kepada mereka, ini merupakan Pilihan Raya Kecil yang pertama selepas kita menerajui kerajaan, dan mungkin ini PRK yang terakhir sebelum kita bersidang di dewan rakyat,” katanya.

Menjawab mengenai PRK Chini sebagai penanda aras untuk pergerakan Pakatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) pada masa hadapan, beliau berkata PRK ini bukanlah kawasan yang sesuai untuk menentukan kesepakatan tersebut.

“Alhamdulillah saya tengok tak ada masalah sangat. Jadi ini bukan satu kawasan sengit dipertandingkan, jadi ini (PRK Chini) tak boleh jadi penanda aras atau benchmark untuk kita menentukan kesepakatan kita.

“Tapi setakat untuk bergerak begini, nampak tak ada masalah. Jadi, ini satu petanda yang baik untuk parti-parti berkenaan bergerak senada,” katanya lagi.

Untuk rekod bagi seramai 20,990 pemilih berdaftar terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal terlibat dengan PRK Chini ini dan daripada jumlah itu, kira-kira 9,000 adalah pengundi luar. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: