KUANTAN, 09 DISEMBER 2020: Kira-kira 100 ahli pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini berkumpul di luar Kompleks Mahkamah Kuantan di Indera Mahkota di sini bagi meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap isu pencerobohan tanah oleh pekebun haram durian Musang King di Raub.
Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Pahang, Kapten (B) Abdul Latiff Mohd. Nor berkata, para pekebun haram ini perlu diambil tindakan tegas kerana Veteran ATM telah bersusah payah mempertahankan negara tetapi terdapat anasir-anasir di dalam negara yang telah menceroboh tanah milik negara.
“Jika dahulu orang ceroboh berbentuk senjata, sekarang dalam bentuk rampasan tanah yang bermakna tanah air, jadi kita berpegang teguh kepada terus menentang golongan ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan perhimpunan aman di luar Kompleks Mahkamah Kuantan.
Sementara itu, Pengerusi PEMBELA Pusat yang juga Pengerusi Presiden Ikatan Muslimin MALAYSIA (ISMA), Aminuddin Yahaya berkata, rakyat seluruh Malaysia menumpukan perhatian terhadap kes mahkamah bersabit pencerobohan tanah kerajaan di Raub itu kerana ia bukan lagi isu negeri, sebaliknya membabitkan negara.
“Namun saya akur dengan keputusan mahkamah hari ini untuk menangguhkan keputusan permohonan dan berharap tidak ada lagi penangguhan pada 23 Disember nanti dan keputusan akan dapat dibuat,” katanya.
Keputusan terhadap permohonan pekebun durian Musang King untuk mendapatkan semakan kehakiman berkenaan arahan mengosongkan kebun mereka oleh Kerajaan Pahang akan diketahui 23 Disember ini.
Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan keputusan terhadap permohonan 204 pekebun durian di Raub itu ditangguhkan kepada tarikh baharu selepas terdapat percanggahan dalam permohonan yang dikemukakan – PAHANGMEDIA
920 total views, 3 views today