Antara mainan klasik yang dipamerkan di Kuantan Pickers & Kedai Kopi, Kuantan.

KHAZANAH BERHARGA ‘TERSIMPAN’ DI KUANTAN PICKERS

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 10 NOVEMBER 2020: Jika mendengar namanya, pasti ramai yang membayangkan Kuantan Pickers & Kedai Kopi di sini seperti restoran ‘hipster’ lain yang menyediakan pelbagai makanan yang menyelerakan.

Namun siapa sangka di dalam restoran berkenaan tersimpan khazanah berharga yang amat sukar didapati di luar kerana ia tidak lagi dijual di kedai-kedai.

Ini kerana apabila menjejak kaki di premis ini boleh dikatakan umpama berada di zaman 80-an atau 90-an kerana di dalamnya dipenuhi pelbagai koleksi barang antik termasuk figura mainan pelbagai watak animasi dan adiwira daripada filem atau siri televisyen popular.

Ruang dalaman Kuantan Pickers & Kedai Kopi.

Kedai kopi yang mula beroperasi sejak 2018 ini mempunyai ribuan koleksi barangan antik yang disimpan rapi di dalam almari kaca yang ada di dalam premis berkenaan dan menjadi tarikan kepada pelanggan yang datang.

Premis yang dibuka bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah malam itu adalah milik bersama dua rakan iaitu Nazrul Zubir, 42, dan Azry Abu Bakar, 43, dan turut menyediakan pelbagai makanan yang enak dari seluruh negara termasuk kacang pool, roti bakar, nasi lemak dan nasi dagang.

Nazrul ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) baru-baru berkata, beliau membuka restoran berkonsep seperti ini adalah untuk berkongsi minatnya terhadap barang-barang antik kepada orang ramai.

Nazrul Zubir, 42.

“Saya mengumpul barang-barang lama ini sejak tahun 1997 lagi bermula dengan figura mainan. Sebab ketika saya kecil, saya tidak mampu untuk membelinya… Jadi apabila sudah besar saya teruskan minat mengumpul figura mainan lama ini.

“Kebanyakan koleksi mainan figura yang saya dalam simpanan saya adalah dalam era 80-an. Selepas itu, saya mula berminat menyimpan koleksi-koleksi lama lain termasuk majalah, poster, dokumen, barang-barang dan pelbagai lagi.

“Sekarang saya rasa ada lebih 100,000 koleksi barang antik yang ada dalam simpanan saya. Saya anggarkan nilai kesemuanya menjangkau ratusan ribu ringgit,” katanya.

Gambar-gambar dan majalah yang mempunyai gambar perkahwinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’atuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Katanya lagi, harga figura mainan itu berbeza mengikut kualiti dan tempat pembuatannya iaitu sama ada dari Jepun atau China.

“Lebih vintaj sesuatu keluaran, lebih mahal harganya dan kebiasaannya, saya membelinya daripada penjual di Facebook jika bukan di portal jualan. Berdasarkan pengalaman, saya pernah membeli sehingga paling mahal lebih RM1,000,” katanya.

Menurutnya lagi, sehingga kini dia masih lagi membeli barang-barang antik yang beliau suka namun dibeli bergantung kepada kemampuan kewangan dirinya.

Pelanggan sedang menikmati makanan yang ada di Kuantan Pickers & Kedai Kopi.

“Sekarang kita ada komuniti barang-barang antik ini jadi boleh berjual beli dengan mereka. Barang-barang antik memang ada peminatnya tersendiri dan ada yang hanya menyimpan satu jenis barang sahaja seperti majalah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau merancang untuk membuka satu seksyen di restoran ini khas untuk diletakkan barang-barang antik yang berkaitan dengan Negeri Pahang.

“Sekarang saya ada ada menyimpan gambar-gambar dan majalah yang mempunyai gambar perkahwinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’atuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

“Selain itu, di sini juga dipamerkan koleksi-koleksi gambar pemain bola sepak Pahang yang lama-lama. Memang kebanyakan orang yang datang sini akan terpegun melihat koleksi-koleksi yang ada di sini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: