Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, Encik Zulkhairil Zainol Abidin.

KES PEMULIHAN DAN PERLINDUNGAN KANAK-KANAK TUNJUK PENURUNAN KETARA

Oleh: Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 25 SEPTEMBER 2020 : Jumlah kes bagi kanak-kanak yang memerlukan pemulihan dan perlindungan di negeri ini menunjukkan penurunan yang ketara berbanding tahun-tahun sebelum dengan 25 kes setakat bulan ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin berkata kesemua kes ini adalah melibatkan kes di bawah Seksyen 17(1) Akta Kanak-kanak (AKK) 2001.

“Setakat bulan September kita telah menerima kes sebanyak 25 kes berbanding 327 kes sepanjang tahun 2019, yang mana merupakan bilangan kes tertinggi sejak 2015.

“Jenis kes yang merekodkan jumlah tertinggi sepanjang lima tahun ini kekal sama iaitu di bawah Seksyen 17(1)(b) melibatkan penganiayaan seksual,” katanya ketika ditemui UKOMP di sini.

Menurut beliau lagi, penurunan ini boleh disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) akibat pandemik COVID-19 pada tahun ini.

“Apabila PKP dilaksanakan, kanak-kanak iaitu mereka yang berumur 18 tahun dan ke bawah tidak dapat bebas keluar dan ini mengurangkan jumlah kes yang diterima JKMNP.

“Penganiayaan terhadap kanak-kanak juga dapat dielakkan apabila adanya penjaga atau ahli keluarga lain di rumah semasa PKP dan ini salah satu faktor penyumbang penurunan kes pda tahun ini,” katanya.

Mengulas mengenai tiga beradik yang tinggal bersama timbunan sampah, najis dan kencing 16 ekor haiwan di Jalan Gambang baru-baru ini, beliau berkata pihak JKMNP juga baru dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Pihak JKM turut serta dalam lawatan tersebut dan kami difahamkan pihak sekolah ada memberikan bantuan dan telah melawat kanak-kanak terbabit namun tidak memaklumkan kepada JKM mengenai perkara ini.

“Kita berterima kasih dengan keperihatinan pihak sekolah terhadap kebajikan ketiga-tiga kanak-kanak ini namun jika ada lagi kes seperti ini, kita mohon pihak sekolah untuk melaporkan terus kepada JKM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata pihak JKM kini sedang mengesan ibu bapa kanak-kanak terbabit berkaitan isu penjagaan dan buat masa ini, kesemua mereka ditempatkan di rumah jagaan sementara.

Beliau juga turut meminta orang ramai untuk menjadi mata dan telinga JKM dengan memberikan maklumat atau melaporkan apa sahaja kes yang berlaku.

“Kita mohon orang ramai membantu dengan jadi mata dan telinga JKM, oleh itu pihak JKM dapat membantu mereka lebih awal dan memastikan kebajikan mereka terjaga.

“Kita juga dapat memastikan masyarakat di sekeliling kita hidup dalam keadaan yang selamat dan sewajarnya,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: