Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika taklimat pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Daerah (JKTD) Cameron Highlands di Kelab Golf Sultan Ahmad Shah di Cameron Highlands semalam.

KERJASAMA SKMM, SYARIKAT TELCO DAN PEJABAT DAERAH PERLU DIPERTINGKATKAN

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Mahathir Ali

CAMERON HIGHLANDS, 28 OKTOBER 2020: Kerjasama diantara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), syarikat telco dan Pejabat Daerah perlu dipertingkatkan bagi memastikan rakyat Pahang dapat menikmati liputan talian telekomunikasi serta internet dengan lebih baik.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pihak yang terbabit juga perlu sentiasa turun padang menyelami masalah rakyat dan berusaha menyelesaikannya sebaik mungkin.

“Kita mahu sasaran 96 peratus kadar liputan rangkaian 4G pada tahun 2022 berjaya dicapai dengan kerjasama semua pihak,” katanya ketika Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Daerah (JKTD) Cameron Highlands di Kelab Golf Sultan Ahmad Shah di sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika memberi penerangan mengenai telekomunikasi pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Daerah (JKTD) Cameron Highlands di Kelab Golf Sultan Ahmad Shah di Cameron Highlands semalam.

Turut hadir, Pegawai Daerah Cameron Highlands, YH. Dato’ Hj Ishak Md Nafis, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang Tuan Haji Zahari Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif PahangGo Sdn Bhd, Encik Affandi Mohd Isa.

Kehadiran SKMM dan PahangGo adalah untuk memberi penerangan dan menerima maklumbalas daripada semua wakil kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) tentang pencapaian, keperluan kerjasama, pembangunan serta kemajuan yang sedang dan akan dilaksanakan.

Beliau berkata, kebanyakan kawasan di negeri Pahang telah ditingkatkan kepada talian 4G yang lebih laju demi memastikan rakyat mendapat akses kepada internet dengan sempurna serta mendapat maklumat penting dengan segera.

“Sebab itu kita membina sebanyak 28 menara telekomunikasi baharu di Pahang sepanjang tahun ini dan daripada jumlah itu sebanyak dua menara di daerah Cameron Highlands. Di Pahang juga terdapat 1,827 struktur telekomunikasi dan 80.38 peratus mendapat liputan 4G,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau juga meminta pemimpin setempat seperti wakil rakyat, penghulu, ketua kampung, pegawai dan kakitangan kerajaan dapat memaklumkan segera kepada SKMM jika di kawasan masing-masing mengalami masalah talian telekomunikasi.

“Ini bagi memastikan tindakan berterusan dengan segera dapat dilaksanakan Kerajaan Pahang bersama SKMM bagi mengatasi masalah ini. Kerjasama semua pihak amatlah diperlukan untuk kebaikan bersama,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: