Kerja-kerja perlombongan pasir yang berlangsung berhampiran Kampung Tanjung Agas, Pekan.

KERJA LOMBONG PASIR TIDAK GANGGU NELAYAN

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Mahathir Ali

PEKAN, 27 OGOS 2020: Kerja-kerja perlombongan pasir di sepanjang Sungai Pahang terutamanya berhampiran beberapa kampung di sini dilihat tidak mengganggu aktiviti seharian penduduk.

Penduduk Tanjung Agas, Mohd Amir Abd Manan, 36, berkata, kerja yang dilakukan dapat mendalamkan dasar sungai di Tanjung Agas yang kian cetek.

Mohd Amir Abd Manan

“Berdasarkan pengalaman saya sebagai penternak ikan Siakap (sangkar) dari tahun 2004 hingga 2007, air cetek mendatangkan pelbagai masalah kepada masyarakat nelayan di sini.

“Malah usaha saya dulu terjejas teruk akibat air cetek di mana sangkar ikan timbul akibat pasir yang menimbun (dibawa air dari hulu ke hilir),” katanya.

Katanya lagi, sepatutnya nelayan di sini gembira jika ada kerja-kerja mengorek pasir dan mendalamkan sungai khususnya di kawasan muka kuala ini.

“Ia (kerja korek pasir) di sini adalah sejenis bentuk bantuan bukan perkara yang menyusahkan. Saya sendiri pelik dengan dakwaan yang dilemparkan oleh beberapa nelayan seperti yang disiarkan di sebuah akhbar, semalam.

Nelayan setempat, Roslan Seman menunjukkan sekitar jeti yang kian cetek akibat pertambahan pasir dalam sungai.

“Seperkara lagi, tempat hakisan yang dikatakan itu bukanlah akibat daripada kerja-kerja mengorek pasir tetapi perubahan semulajadi muka kuala akibat pembinaan tembok pemecah ombak di persisir Kuala Pahang,” katanya.

Menurutnya, tembok sepanjang dua kilometer itu dibina bagi membantu mengatasi masalah banjir setiap kali impahan air sungai yang terjadi akibat hujan lebat di bahagian hulu dan pertembungan air laut pasang besar.

MUARA CETEK DATANGKAN MASALAH KEPADA NELAYAN

Nelayan setempat, Roslan Seman, 58, turut memaklumkan keadaan muara yang cetek telah mendatangkan pelbagai masalah kepada nelayan di sini.

Roslan Seman

“Sudah berpeluh tahun saya menjadi nelayan di sini dan rasanya air di sini benar-benar dalam lebih sepuluh tahun lalu sebelum kian cetek akibat perubahan alam semula jadi.

“Bayangkan, nelayan perlu kejar masa keluar dalam keadaan awal pagi yang gelap bagi memastikan dapat keluar daripada muka kuala sebelum air surut,” katanya.

Perkara sama disuarakan nelayan, Abd Manan Bidol, 65, yang mengakui bahawa mereka tidak dapat mengatur masa sendiri untuk turun atau pulang ke laut.

“Bayangkan waktu pulang dari laut, kami perlu sampai awal kira-kira sebelum pukul 4 petang kerana air akan kembali cetek pada waktu tersebut.

Abd Manan Bidol

“Saya nelayan tua, mana larat nak tolak bot atas pasir dah.. Lainlah nelayan-nelayan yang masih muda. Itu pun ramai yang tambat bot masing-masing di muka kuala dan perlu berjalan kaki kira-kira 500 meter membawa hasil laut masing-masing. Tak dapat letak di jeti kerana masalah air cetek,” katanya.

SOKONG USAHA KOREK PASIR

Bagi Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Tanjung Agas, Mohd Majminuddin Abd Majid, 47, beliau menyokong usaha mengorek pasir yang dilakukan.

Mohd Majminuddin Abd Majid

“Kerja-kerja mengorek pasir kini berlangsung di kawasan sekitar dan kalau boleh utamakan kawasan di sini sebab ada penggunanya seperti nelayan, orang memukat dan memancing.

“Sepatutnya tiada masalah timbul kerana kerja-kerja tersebut, malah ramai anak kampung ini yang mendapat kerja dengan syarikat pasir yang sedang beroperasi kini.

“Ada yang jadi kerani, ada yang jaga mesin… Boleh dikatakan 70 peratus pekerja pam pasir adalah anak muda kampung ini,” katanya.

Katanya lagi, tiada isu jika syarikat terlibat beroperasi mengikut syarat pengendalian yang betul serta pampasan yang diberikan adalah selaras dan kepada mereka yang benar-benar terjejas.

TIADA ADUAN DARIPADA PENDUDUK

Sementara itu, jurutera daripada Syarikat Mega Wangsa Sdn Bhd yang terlibat di salah sebuah lot perlombongan pasir berkata pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada penduduk setempat.

Norazmin Mohd Rasid

Norazmin Mohd Rasid berkata, ada beberapa syarikat kini sedang melakukan kerja perlombongan pasir di sekitar Sungai Pahang.

“Syarikat kami menguruskan lot seluas 8.09 hektar berhampiran Kampung Tanjung Agas dan Mengambil maklum mengenai persekitaran dan masyarakat setempat.

“Sejak beroperasi kira-kira empat bulan lalu tiada aduan yang diterima daripada nelayan dan kerja-kerja yang dilakukan tidak mengganggu laluan nelayan.

Katanya, syarikat sentiasa memberi tumpuan mengenai kedudukan laluan pasir (pipe line) bagi mengelak laluan keluar masuk nelayan terhalang serta mendahulukan kepentingan penduduk di sini. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: