Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail hari ini melawat pusat pelancongan Mossy Forest bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai kerajaan sempena lawatan kerja beliau ke daerah Cameron Highlands selama tiga hari bermula 8 September baru ini.

KERJA BAIK PULIH JALAN KE TER MOSSY FOREST SELESAI HUJUNG BULAN INI

Oleh: Ain Nadhirah Basah
Foto: Mahahtir Ali

CAMERON HIGHLANDS, 10 SEPTEMBER 2020 : Kerja-kerja penyelenggaraan jalan masuk ke Taman Eko-Rimba (TER) Mossy Forest yang rosak dijangka selesai pada akhir bulan ini.

Pegawai Perhutanan Cameron Highlands, Encik Arif Hadi Johari Affendi berkata keadaan jalan yang rosak ini adalah antara isu yang sering dibangkitkan oleh pengunjung ke TER ini.

“Masalah jalan akses yang rosak untuk ke TER Mossy Forest telah menjadi rungutan para pengunjung.

“Sehubungan itu, pihak Jabatan Kerja Raya Daerah Cameron Highlands sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan jalan tersebut dan dijangka siap pada akhir September 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ke TER Mossy Forest di sini.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Shamsulbahri Ibrahim; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, Dato’ Dr. Mohd. Hizamri Mohd Yasin; dan barisan exco Kerajaan Negeri Pahang.

Beliau berkata selain isu jalan masuk ini, pihaknya bercadang untuk menyediakan satu tempat letak kenderaan yang baharu bagi menangai isu kesesakan yang dihadapai ketika ini.

“Terutamanya pada hujung minggu, tempat letak kereta menjadi amat sesak. Keadaan ini jika berlarutan akan menyebabkan ketidakselesaan kepada pelawat.

“Sehubungan itu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bercadang untuk menyediakan satu tempat letak kenderaan di kawasan tanah kerajaan bagi menangani isu ini.

“Selain itu, Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) juga akan menyediakan kenderaan shuttle untuk pelawat ke TER Mossy Forest ini,” katanya.

YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail melalui kawasan hutan Mossy Forest yang sejuk dan berkabus.

Tambah beliau lagi, pihaknya juga dalam perancangan untuk menaiktaraf keseluruhan TER Mossy Forest pada masa hadapan.

“Sehingga kini pihak JPNP telah mengemukakan permohonan kepada ECERDC sebanyak RM15 juta di bawah RMK-12 bagi membangunkan TER Mossy Forest berdasarkan Pelan Induk Pembangunan Taman Eko-Rimba Mossy Forest Pahang 2020-2023 bagi menaiktaraf keseluruhan kawasan ini.

“Dan antara rancang yang dibincangkan adalah untuk menyambung laluan pejalan kaki sedia ada sehingga ke puncak Gunung Irau sejauh 2 kilometer,” katanya.

Menurut beliau lagi, pihaknya juga bercadang untuk menyediakan pembelian tiket ke TER Mossy Forest ini secara dalam talian pada masa hadapan.

“Kami bercadang untuk membuat pembelian tiket secara dalam talian (online ticketing system) untuk TER Mossy Forest dan permit pendakian Gunung Irau.

“Ini bagi memudahkan dan melancarkan pembelian tiket selain mengawal had daya tampung bagi mengelak kesesakan daripada berlaku,” katanya.

TER Mossy Forest merupakan hutan semulajadi yang berlumut, lembab dan basah sepanjang tahun ini terletak dalam Kompartment 2 Hutan Simpan Batu Gangan Tambahan dan dikategorikan sebagai hutan gunung dan bersuhu antara 10c sehingga 20c.

TER yang dikenali juga sebagai Taman Dalam Awan ini berada pada ketinggian 2,000 meter dari aras laut dengan keluasan lebih kurang 2.3 hektar merupakan pintu masuk ke Gunung Irau iaitu gunung tertinggi di daerah ini dengan ketinggian 2,110 meter dari aras laut.

Kawasan yang bersempadanan dengan Perak ini turut dilengkapi platform pejalan kaki sepanjang 250 meter bersama empat pondok rehat, menara pandang, mercu tanda, wakaf, kawasan tempat letak kenderaan dan tandas awam. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download