Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

KERAJAAN PAHANG UMUM SEMBILAN LAGI INISIATIF BANTU RAKYAT TERKESAN COVID-19

KUANTAN, 8 APRIL 2020: Kerajaan Negeri Pahang mengumumkan sembilan lagi inisiatif bagi membantu golongan yang terkesan dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesembilan-sembilan inisiatif ini ialah di bawah Fasa 3 setelah 13 inisiatif diperkenal dan dilaksanakan sebelum ini iaitu di bawah Fasa 1, melibatkan lapan inisiatif sepertimana telah saya umumkan pada 23 Mac 2020, dan di bawah Fasa 2 dengan lima inisiatif yang telah diumumkan pada 30 Mac 2020.

Menurutnya, kesemua sembilan inisiatif terbaharu ini ialah yang pertama iaitu sumbangan masing-masing 1,500 kampit beras 5 kg setiap kampit, kepada pemimpin masyarakat di 14 kawasan Parlimen di Pahang yang akan melibatkan 21,000 orang penerima (1,500 kampit/penerima X 14 kawasan Parlimen) dengan nilai keseluruhannya, RM304,500.

Katanya, inisiatif yang kedua ialah sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada seramai 426 orang yang dalam kalangan Pemandu Pelancong Semulajadi Taman Negara, Pemandu Pelancong Biasa dan Pemandu Bot Pelancong Taman Negara dengan nilai peruntukan keseluruhannya untuk golongan berkaitan pelancongan ini ialah RM63,900.

“Inisiatif yang ketiga ialah barangan keperluan bernilai RM50 kepada 3,500 Ketua Isi Rumah (KIR) di bawah Program Ziarah Prihatin. KIR yang terlibat ialah dalam kalangan mereka dikuarantin di rumah masing-masing yang di bawah kategori Pesakit Di bawah Pemantauan (PUS; Patient Under Surveillance) dengan nilai peruntukannya pula ialah RM175,000.

“Inisiatif yang keempat pula ialah sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada 70 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda seluruh Pahang melibatkan 3,500 orang penerima dengan nilai peruntukan ialah RM525,000.

“Inisiatif yang kelima ialah sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada 62 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Kesalamatan Kampung Baharu (JKKKB) melibatkan 3,100 orang penerima dengan nilai peruntukan ialah RM465,000.

“Inisiatif yang keenam ialah sumbangan tunai RM150 kepada 650 mahasiswa/I anak Pahang yang kekal tinggal di asrama kampus masing-masing ekoran akur kepada PKP dengan nilai peruntukan untuk maksud ini ialah RM97,500.

“Inisiatif yang ketujuh pula ialah sumbangan barangan keperluan bernilai RM200 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) bagi kawasan yang diperketatkan kawalan pergerakan dan sukar mendapatkan bekalan makanan. Jumlah terlibat dipuratakan 200 KIR setiap 11 daerah bersamaan 2,200 KIR di seluruh Pahang dengan nilai peruntukan ialah RM440,000.

“Inisiatif yang kelapan ialah sumbangan sebagai bantuan pengurusan sebanyak RM5,000 kepada setiap 11 Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah bagi menguruskan pembekalan dan pengagihan barangan keperluan kepada KIR sepertimana di atas dengan nilai peruntukan ialah RM55,000.

“Manakala inisiatif yang kesembilan pula ialah sumbangan RM30,000 sebagai membantu usahawan mikro ‘E-Hailing’ khususnya di Kuantan yang terkesan teruk dengan PKP,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini hari ini.

YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, nilai peruntukan keseluruhannya bagi kesembilan-sembilan inisiatif terkini ini ialah RM 2.156 juta, serta melibatkan lebih 34,376 orang penerima.

Menurutnya, dengan sembilan inisiatif terbaharu di bawah Fasa 3 ini, dicampurkan dengan 13 inisiatif di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 sebelum ini menjadikan keseluruhan nilai peruntukan untuk kesemua 22 inisiatif yang Kerajaan Negeri perkenal dan laksanakan setakat ini ialah sebanyak RM21.404 juta, serta melibatkan lebih 136,074 orang penerima.

“Semoga dengan kesemua 22 inisiatif ini akan dapat membantu sedikit-sebanyak rakyat-jelata yang dalam kalangan pelbagai kaum, usia dan kerjaya, yang terjejas dengan tempoh PKP yang bermula 18 Mac sehingga 31 Mac yang kini dilanjutkan kepada 14 April.

“Sukacita juga saya umumkan bayaran pendahuluan RM500 kepada 1,027 Imam Kariah di seluruh Pahang. Ini ialah sebahagian daripada RM1,000 Bayaran Khas ‘One Off’ yang turut terkandung dalam Belanjawan Negeri 2020 ketika pembentangannya pada Persidangan Dewan Negeri tahun lepas,” katanya.

Beliau juga berkata, para pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) kini sedang giat menguruskan soal semakan dan pembayarannya. Sehubungan itu, pembayaran akan dibuat berperingkat-peringkat bermula Khamis, 9 April 2020.

“Mengambil kesempatan ini, sekali lagi saya sarankan agar rakyat sekalian akan terus patuh kepada segala arahan PKP yang dengannya diharapkan, dapatlah kita sama-sama membendung penularan wabak pandemik COVID-19 ini, InsyaAllah,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download