Menteri Besar Pahang, YAB. Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

KERAJAAN PAHANG UMUM LIMA INISIATIF BAHARU BANTU RAKYAT TERJEJAS

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN 30 MAC 2020: Kerajaan Pahang hari ini mengumumkan lima lagi inisiatif baharu bagi membantu rakyat yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19 terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Nilai keseluruhan lima inisiatif ini berjumlah RM4.258 juta dan masih berteraskan menjaga kebajikan demi kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif pertama adalah sumbangan tunai RM100 dan barangan bernilai RM50 kepada 21,000 penerima yang sangat memerlukan di semua 42 kawasan Dewan Negeri (DN) di Pahang.

“Senarai penerima akan ditentukan dengan kerjasama penghulu serta ketua kampung berkenaan. Nilai peruntukan bagi melaksanakan inisiatif ini ialah RM3.15 juta,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, inisiatif kedua adalah, bantuan tunai RM300 kepada penghulu serta RM200 kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) di seluruh Pahang dengan jumlah keseluruhan RM132,400.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan pemberian 500 kampit beras kepada semua 42 kawasan Dewan Negeri (DN) untuk disumbangkan kepada golongan yang memerlukan. Nilai peruntukan untuk ini pula ialah RM304,500.

“Inisiatif seterusnya adalah sumbangan barangan keperluan bernilai RM50 kepada 1,500 orang dalam kalangan miskin tegar di negeri ini. Nilai peruntukan untuk bantuan ‘one-off’ ini ialah RM75,000.

“Kita turut memberi sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada masyarakat Orang Asli di seluruh negeri, melibatkan 3,975 orang. Nilai peruntukan untuk maksud ini ialah RM596,250,” jelasnya.

Beliau berkata, sebelum ini, nilai peruntukan bagi pelaksanaan lapan inisiatif ialah RM14.99 juta, dengan itu, nilai keseluruhan 13 inisiatif termasuk lima  yang diumumkan hari ini ialah berjumlah RM19.248 juta.

“Setelah seminggu inisiatif-inisiatif diperkenal dan dilaksanakan terutamanya berkaitan sumbangan tunai dan barangan keperluan, sukacita saya katakan bahawa sehingga kini, seramai 18,000 orang telah menerima dan memanfaatkannya.

“Semoga dengan ini, dapat saling melengkapi kepada usaha Kerajaan Persekutuan meringankan beban rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (PRIHATIN),” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: