Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

KERAJAAN PAHANG UMUM ENAM LAGI INISIATIF BAGI BANTU MEREKA TERJEJAS AKIBAT PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 23 MAC 2020 : Kerajaan Negeri Pahang mengumumkan tambahan enam lagi inisiatif sebagai bantuan kepada mereka yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan COVID-19 di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata inisiatif ini diberikan kepada mereka yang terjejas sumber pendapatan dan menerima kesan secara langsung atau tidak langsung akibat PKP yang dijalankan ini.

“Kerajaan Negeri melalui peruntukan khas sebanyak RM3.587 juta akan memberikan bantuan khas tunai secara ‘one-off’ sebanyak RM150 dan barangan makanan seperti beras, tepung, gula dan sebagainya bernilai RM50 kepada kira-kira 17,935 penerima yang dijangka akan diagihkan bermula esok, 24 Mac 2020.

“Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan khas sebanyak RM252,000 kepada 42 Ahli Dewan Negeri di Pahang bagi membantu secara terus rakyat yang terjejas dengan penularan wabak COVID-19 ini.

“Potongan sebanyak 50 peratus daripada kadar sewa bulanan Projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) dan Rancangan Rumah Murah (PRM) di seluruh Pahang diberikan bagi bulan April 2020 yang melibatkan 2,453 penyewa dengan kos sebanyak RM150,000,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau turut mengumumkan pemotongan sebanyak 50 peratus bagi bayaran bulan April 2020 bagi bayaran sewaan gerai dan lain-lain kemudahan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

“Pemotongan ini melibatkan penjaja dan peniaga kecil bagi pembayaran sewa, bayaran permit pasar tani, pasar pagi, pasar malam, dan car boot sale yang memberi manfaat kepada 6,238 golongan peniaga kecil dan penjaja melibatkan jumlah sebanyak RM1.293 juta.

“Bayaran bagi kesemua bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang akan dipercepatkan bayaran iaitu pada 27 Mac ini merangkumi bantuan am, bantuan kanak-kanak, elaun pekerja cacat, bantuan penjagaan orang kelainan upaya (OKU) terlantar/pesakit kronik terlantar, bantuan OKU tidak bekerja, bantuan orang tua, bantuan anak pelihara dan bantuan latihan perintis kepada 28,806 penerima dengan jumlah keseluruhan RM8.95 juta.

“Kerajaan Negeri juga bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM765,800 bagi kos penyediaan makanan kepada petugas di bilik gerakan operasi dan pasukan keselamatan yang terlibat sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka,” katanya.

Beliau berkata selain daripada inisiatif yang diumumkan ini, pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) turut menyediakan peruntukan khas kepada golongan asnaf yang terlibat.

Selain itu, beliau juga amat mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak termasuklah Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, syarikat-syarikat swasta terutamanya yang beroperasi di negeri Pahang, dan mana-mana pihak yang bermurah hati untuk menyumbang kepada Tabung COVID-19 Pahang.

“Sumbangan boleh dibuat atas nama Perbendaharaan Negeri Pahang, di nombor akaun 06010002165711 di bawah Bank Muamalat dengan menyatakan TABUNGCOVID19PAHANG.

“Sumbangan ini juga boleh dibuat melalui pindahan bank, pindahan melalui mesin ATM, atau melalui aplikasi digital PahangGo,” katanya.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha membendung wabak pandemik COVID-19 di negeri Pahang.

Selain itu, beliau turut menyeru semua rakyat Pahang supaya terus patuh kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan dengan kekal berada di rumah.

“Sehingga 23 Mac 2020, seramai 56 orang pesakit telah dikenalpasti positif COVID-19 di negeri Pahang dan angka ini mencatat peningkatan hampir setiap hari dan amatlah membimbangkan.

“Saya menyeru kita semua terus patuh kepada arahan PKP ini dan kekal berada di rumah kerana kita ingin memutuskan rantaian virus ini. Jika ini berjaya kita lakukan, InsyaAllah tiada lagi kes baharu dan kita dapat tumpu untuk pulihkan pesakit sedia ada. Semoga semua usaha keras untuk menangani wabak ini akan berjaya, InsyaAllah,” katanya lagi. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: