KUANTAN, 12 NOVEMBER 2020: Kerajaan Pahang membuat keputusan menolak permohonan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk mengadakan baki perlawanan peringkat suku akhir Piala Malaysia di negeri ini.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat setelah mendapat nasihat daripada pelbagai pihak termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang.
“Keputusan ini juga selari dengan pengumuman oleh Menteri Kanan (Keselamatan), YB. Dato’ Sri Ismail Sabri petang semalam yang menolak permohonan MFL mengenai permohonan yang sama.
“Kerajaan Negeri berpendapat walaupun Pahang berada dalam zon hijau tetapi usaha pembendungan penularan wabak ini perlu terus dilakukan dan penganjuran perlawanan bola sepak ini boleh menjejaskannya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berharap semua pihak khususnya MFL dapat menerima keputusan Kerajaan Negeri ini yang dibuat demi menjaga dan memelihara kesihatan awam. – PAHANGMEDIA