Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 2 DISEMBER 2020: Kerajaan Pahang berusaha meningkatkan akses internet di kawasan luar bandar di seluruh negeri ini bagi membantu para pelajar menjalani pembelajaran kendiri secara atas talian di rumah.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, Kerajaan Pahang sangat prihatin terhadap keperluan para pelajar khususnya yang bakal menduduki Sijil Penilaian Malaysia (SPM) pada Februari 2021 yang terpaksa menjalani pembelajaran kendiri sebagai persiapan peperiksaan terbesar itu nanti.
Katanya, sebagai rasa prihatin terhadap keperluan pelajar pada hari ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan bantuan insentif pembelajaran secara atas talian sebanyak RM962,700 kepada semua 19,254 pelajar SPM di seluruh negeri.
“Insentif ini sebanyak RM50 diberikan kepada seramai 19,254 orang calon SPM di seluruh negeri ini yang melibatkan kesemua 11 daerah, dan 14 parlimen, 42 dewan negeri dan juga 214 sekolah.
“Tujuan kita adalah untuk membantu calon-calon SPM tahun ini menghadapi peperiksaan kerana kebanyakan daripada mereka terpaksa mengulangkaji pelajaran di rumah masing-masing, di kawasan masing-masing dan kebanyakan mereka menggunakan kemudahan internet,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) pada Majlis Penyerahan Insentif Pembelajaran Secara Online bagi calon-calon SPM di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Pada majlis berkenaan hanya wakil dari empat buah Dewan Negeri hadir pada simbolik penyerahan insentif berkenaan manakala baki peruntukan tunai akan dimasukkan ke dalam akaun Pusat Khidmat Dewan Negeri untuk diserahkan kepada pelajar di kawasan masing-masing. – PAHANGMEDIA
986 total views, 9 views today