YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato' Sri Dr Sallehuddin Ishak (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Tuan Sheikh Zakaria Othman (kanan) dan Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang YH Dato' Halidan Md Daud ketika majlis penyerahan bantuan beras daripada LZNP di Depoh Simpanan JKM Pahang, Kuantan, hari ini.

KERAJAAN PAHANG TERIMA BANTUAN BERAS 90 TAN DARI KEDAH

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim

KUANTAN, 11 JANUARI 2021 : Kerajaan Pahang menerima bantuan beras sebanyak 90 tan bernilai RM241,000 daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) hari ini.

YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak berkata Kerajaan Pahang mengucapkan penghargaan kepada Kerajaan Kedah di atas sumbangan berkenaan.

“Kerajaan Pahang mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Kedah, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNP), dan rakyat negeri Kedah atas simpati yang ditunjukkan kepada kami.

“Yang mana kami sendiri pun tidak menang tangan untuk menyantuni semua setiap individu yang ditimpa musibah, ujian banjir tapi dengan santunan daripada Kedah ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban yang kita hadapi,” katanya.

YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak bersama Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Tuan Sheikh Zakaria Othman (kanan) ketika majlis penyerahan bantuan beras daripada LZNP di Depoh Simpanan JKM Pahang, Kuantan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis penyerahan barangan Misi Bantuan Banjir Lembaga Zakat Negeri Kedah Ke Pahang yang turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Asmaliza Ku Lah; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Zakaria Ibrahim; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin dan Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang Datuk Halidan Md Daud di Depoh Simpanan JKM Pahang, di sini, hari ini.

Beliau dalam masa yang sama turut menyeru orang ramai yang ingin memberikan sumbangan kepada mangsa terjejas banjir supaya berbuat demikian melalui Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) di setiap daerah.

“Kita juga ingin menyeru pada pihak-pihak lain yang ingin menyumbang apa-apa bentuk sama ada tenaga atau kewangan atau barangan supaya mengikut cara yang dilakukan oleh LZNK ini dengan berhubung terus kepada pihak PKOB daerah atau negeri.

“Kerana kita bukan nak jadi halangan tetapi kita nak memudahkan semua orang kerana kita ada beberapa masalah iaitu masalah Covid, dan sekiranya semua orang bebas keluar masuk, kita bimbang tidak ada kawalan. Sama ada sukarelawan membawa penyakit atau mereka menerima penyakit,” katanya.

Tambah beliau lagi, sekiranya bantuan disalurkan melalui pusat PKOB yang ada, bantuan dapat disalurkan secara menyeluruh kepada mangsa yang terjejas banjir.

“Bantuan banyak diterima, dan sekiranya semua orang bertumpu pada satu tempat, mungkin ada orang yang lebih memerlukan yang ketinggalan.

“Tetapi di peringkat PKOB kita mempunyai data dan maklumat yang boleh membantu agihan bantuan secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif LZNK, Tuan Sheikh Zakaria Othman berkata bantuan ini diberikan sebagai sebahagian inisiatif meringankan beban Kerajaan Pahang dalam menangani musibah banjir.

“Kita membawa 90 tan beras iaitu 18,000 kampit beras lima kilogram; 1,000 botol kicap dan lain-lain bekalan menggunakan tiga buah treler dan dua buah lori.

“Misi ini turut disertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah dan LZNK selain mendapat kerjasama daripada Syarikat-Syarikat Sahabat Zakat Kedah seperti Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan Mudim Zakaria Food Industries Sdn.Bhd.

“Kesemua bekalan yang dibawa telah dihantar ke Pejabat Tanah dan Daerah Jerantut dan Temerloh semalam, sebelum ke Depoh Simpanan Bencana Kuantan hari ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 748 total views,  20 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download