YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bersama empat buah syarikat bagi Projek Pembangunan Kuantan Skytrain melibatkan kos pembangunan keseluruhan RM18.28 bilion.

KERAJAAN PAHANG TANDATANGAN MOU BAGI PROJEK PEMBANGUNAN KUANTAN SKYTRAIN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 11 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama empat buah syarikat bagi Projek Pembangunan Kuantan Skytrain melibatkan kos pembangunan keseluruhan RM18.28 bilion.

Projek yang melibatkan dua fasa pembinaan ini meliputi jarak sejauh 54.5 kilometer keseluruhan dengan tiga jajaran di mana setiap fasa dijangka siap dalam tempoh empat tahun.

Empat buah syarikat terlibat dalam usahasama ini adalah VKCC Sdn Bhd, Vibrant Frontier Sdn Bhd, Guangcai China (M) Sdn Bhd serta China Shandong International Economic & Technical Cooperation Group Ltd.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama empat buah syarikat bagi Projek Pembangunan Kuantan Skytrain melibatkan kos pembangunan keseluruhan RM18.28 bilion.

Perjanjian ini ditandatangani oleh YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan disaksikan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), YH. Dato’ Razihan Adzharuddin yang mewakili Kerajaan Pahang, manakala wakil syarikat terdiri daripada Encik Zhang Tailin mewakili China Shandong International Economic & Technical Cooperation Group Ltd; Dato’ Indera Naresh Mohan mewakili Vibrant Frontier Sdn Bhd; Encik Teng Chee Wai mewakili VKCC Sdn Bhd; serta Encik Liew Kok Keong mewakili Guangcai China (M) Sdn Bhd.

Perjanjian berkenaan telah disaksikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Hadir sama, Pegawai Pelaburan Negeri Pahang, YH. Dato’ Kamarul ‘Arifin Ahmad@Abd Rahman; Pengarah Urusan Menara Kuantan 188, YH. Dato’ Zulkifli Mohamad dan Pegawai Daerah Kuantan, YM Mejar (K) Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah.

Pembangunan fasa pertama projek ini merangkumi pembinaan dua jajaran iaitu dari Menara Kuantan 188 hingga KOTASAS dengan jarak kira-kira 12.5 kilometer, serta dari Menara Kuantan 188 hingga Teluk Cempedak, dengan jarak kira-kira 10 kilometer melibatkan kos pembangunan sebanyak RM7.38 bilion yang turut melibatkan pembangunan empat stesen Skytrain.

Bagi fasa kedua pembangunan pula projek ini dianggarkan menelan kos pembangunan sebanyak RM10.9 bilion melibatkan jajaran ketiga dari KOTASAS ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dengan jarak kira-kira 32 kilometer yang akan dilaksanakan secara berfasa.

Fasa pertama dijangka dapat disiap dalam tempoh empat tahun, manakala fasa kedua juga dijangka siap dalam tempoh yang sama.

Projek ini dilihat bakal menjadi pelengkap kepada sistem pengangkutan serta menjadi sokongan kepada projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dan projek ECRL.

Secara tidak langsung, pembangunan projek Kuantan Skytrain juga dapat memberi manfaat kepada sektor pelancongan Negeri Pahang serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram