Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff bersama jemaah mengaminkan doa selepas berselawat di Masjid Kampung Serun Dalam, Nenasi semalam.

KERAJAAN PAHANG SUMBANG SISTEM PEMBESAR SUARA BAHARU UNTUK MASJID KAMPUNG SERUN DALAM

Oleh: Mahathir Ali

PEKAN, 07 NOVEMBER 2020: Pengurusan Masjid Kampung Serun Dalam di Nenasi terharu selepas impian untuk mendapatkan pembesar suara tercapai apabila bakal menerima sumbangan RM15,000 daripada Kerajaan Pahang.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang juga Ahli Dewan Negeri Bebar selepas beliau menunaikan Solat Jumaat di masjid itu semalam.

Ahli Jawatankuasa Masjid Kampung Serun Dalam, Ustaz Abdul Rahim Omar berkata, sebelum ini memang pihak masjid ada merancang untuk mendapatkan sumbangan orang ramai dan memohon kepada pihak berwajib bagi membiayai pembelian pembesar suara yang baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berucap di Masjid Kampung Serun Dalam, Nenasi.

“Pembesar suara yang digunakan sekarang adalah yang lama ketika masjid ini masih dalam kategori surau sebelum ia dinaiktaraf baru-baru ini selepas kerja-kerja membesarkan ruang solat masjid, menara dan sebagainya siap beberapa bulan lalu.

“Kami sangat bersyukur, sememangnya kami memikirkan bagaimana mahu mencari dana tambahan untuk membeli pembesar suara ini tetapi belum sempat permohonan dipanjangkan, hari ini kami sudah terima berita gembira.

“Kami tak sangka YB terus umumkan pemberian RM15,000 ini. Seluruh kariah mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB dan semua yang terlibat,” katanya ketika ditemui semalam.

Penyampaian sumbangan kepada Ahli Jawatankuasa Masjid selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul.

Sementara itu, menurut YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin, beliau bersyukur kerana segala usaha membesar dan membaik pulih masjid ini telah selesai dengan sumbangan orang ramai dan sumbangan daripada Kerajaan Pahang yang pernah disampaikan olehnya sebelum ini.

“Tadi saya mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran agak kurang jelas dan tidak kuat bunyinya, ketika saya berucap saya juga merasakan perkara yang sama dan saya tahu pembesar suara di sini tidak elok dan perlu ditukar. Pembesar suara merupakan satu keperluan penting di masjid terutamanya bagi melaungkan azan.

“Saya telah menyampaikan hasrat ketika berucap tadi untuk memberi peruntukan berjumlah RM15,000 kepada pihak pengurusan masjid bagi menambah baik sistem pembesar suara di sini, saya sendiri akan pastikan sumbangan ini segera dilaksanakan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: