Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
CAMERON HIGHLANDS, 04 DISEMBER 2020: Kerajaan Pahang menyampaikan sumbangan sebanyak RM42,500 kepada sembilan Tok Batin di dalam daerah Cameron Highlands.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan yang diberikan ini adalah untuk penambahbaikkan dan kegunaan masyarakat Orang Asli di daerah ini.
Beliau berkata Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat dan berusaha sehabis baik untuk membantu dan memperkasakan masyarakat Orang Asli di negeri ini.
“Saya harapkan masyarakat Orang Asli di seluruh negeri ini akan terus memberi sokongan kepada Kerajaan Negeri dalam memastikan negeri ini terus maju,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Ramah Mesra Bersama Kepimpinan Masyarakat Orang Asli Parlimen Cameron Highlands di Hotel Rosa Passadena di sini, malam tadi.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram dan Pegawai Daerah Cameron Highlands, YH Dato’ Ishak Nafis.
Kerajaan Pahang dalam peruntukan Belanjawan 2021 Negeri Pahang telah memperuntukkan sebanyak RM2.1 juta bagi pengurusan masyarakat Orang Asli termasuklah pembangunan belia Orang Asli. – PAHANGMEDIA