Oleh: Fairus Mohd
KUANTAN, 9 JANUARI 2021: Kerajaan Pahang sudah menggunakan semua jentera yang ada sehingga pada tahap seratus peratus selama 24 jam setiap hari bagi memastikan kesemua mangsa banjir di negeri ini mendapat bantuan segera dan sewajarnya.
YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak berkata, walaupun terdapat beberapa situasi luar jangka yang berlaku sehingga menyumbang kepada kekangan penghantaran bantuan kepada mangsa di beberapa kawasan, namun pihaknya sudah melakukan yang terbaik untuk membantu mangsa banjir.
Beliau yang juga Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, antara faktor yang menyebabkan kesukaran bantuan sampai segera ialah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibangunkan turut ditenggelami air.
“Kita terpaksa membuat khemah di kawasan selamat (kerana PPS banjir) bagi mangsa banjir berteduh. Jalan perhubungan juga terputus dan kita dapat lihat sendiri KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah bercemar duli menaiki bot dan motosikal di kawasan yang kritikal.
“Dalam keadaan begini juga semua kenderaan termasuk helikopter dan bot digunakan sepenuhnya. Begitu juga ‘main power’ yang ada semuanya digunakan seratus peratus selama 24 jam setiap hari bagi memastikan semua mangsa mendapat bantuan segera dan sewajarnya,” katanya ketika temubual secara langsung bersama Astro Awani, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata ada kawasan dilanda banjir yang tidak ada PPS kerana sejak sekian lama tidak pernah banjir.
“Sebagai contoh pada 3 Januari lalu di Kampung Cendong daerah Maran, penduduk kata tak pernah banjir lebih 60 tahun dan mereka terpaksa buat PPS sendiri.
“Tiada pangkalan hadapan terdekat disediakan di kawasan berkenaan menyebabkan kerajaan negeri perlu mengambil bekalan dari luar dan memakan masa sehingga lima hingga enam jam untuk sampai ke kawasan tersebut,” katanya.
Katanya lagi, di Pulau Raya, Temerloh bantuan dihantar mengambil masa sehingga 12 jam akibat terputus hubungan.
“Apabila banjir berlaku di sesuatu kawasan, hubungan telekomunikasi turut terputus menyebabkan mangsa tidak dapat berhubung dengan pihak luar. Bila dapat line (talian) terus berhubung dengan pihak berkuasa dan bomba terus datang hantar bantuan,” katanya. PAHANGMEDIA