Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman menyampaikan sumbangan kepada Isteri Allahyarham Mohd Zuhairi, Nor Hayati Embong, 35.

KERAJAAN PAHANG SERAH SUMBANGAN KEPADA KELUARGA KAKITANGAN PKD PEKAN

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

PEKAN, 10 DISEMBER 2020: Nasib keluarga dua petugas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan yang maut dalam nahas jalan raya Isnin lalu, turut mendapat perhatian Kerajaan Pahang yang tampil menyerahkan sumbangan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman hadir mewakili Menteri Besar Pahang dan turut diiringi Ketua Pegawai Khas Menteri Besar Pahang, Encik Hamizi Yaakub dan Pegawai Kesihatan Daerah Pekan, Dr. Nur Aiza Hj Zakaria.

YB. Dato’ Sri Norolazali meluangkan masa bertemu isteri dan anak-anak Allahyarham Mohd Zuhairi Abdullah di Kuarters Kesihatan Peramu Jaya sebelum ke kediaman keluarga Allahyarham Julayha Kudus di Perumahan Dato’ Shah bandar, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman menyampaikan sumbangan kepada Encik Asmawi Yusof, 45.

Dalam pertemuan tersebut, beliau turut memberi kata-kata semangat serta kesediaan Kerajaan Negeri membantu keluarga mangsa mengikut kemampuan serta keperluan semasa.

Isteri Allahyarham Mohd Zuhairi, Nor Hayati Embong, 35, yang ditemui berkata, perhatian yang diberikan pihak Kerajaan Negeri amat dihargai dalam keadaan dia dan anak-anak masih tersentak dengan pemergian suami.

“Saya tidak mempunyai perancangan bagaimana hendak meneruskan kehidupan buat masa ini, tetapi hasrat di hati ingin terus menetap di Negeri Pahang. Walaupun suami telah pergi dan saya perlu keluar dari kuarters ini, tapi saya tak rasa mahu pulang dan tinggal di rumah keluarga di Kampung Surau Haji Daud, Terengganu,” katanya.

Menurutnya, dia mahu meneruskan usaha menjual kuih yang menjadi pendapatan tambahan keluarga sebelum ini selain menyara anak-anak dengan pencen arwah yang bakal diterima nanti.

“Saya rasa mampu meneruskan kehidupan di sini, semua ahli keluarga datang beri semangat termasuk keluarga sebelah arwah suami. InsyaAllah saya mampu meneruskan kehidupan dengan baik demi anak-anak.

“Cuma saya perlukan bantuan untuk mendapatkan rumah sebagai tempat berteduh seterusnya anak-anak juga dapat teruskan persekolahan pada tahun depan seperti biasa” katanya.

Sementara itu, kepiluan pemergian isteri dikongsi Encik Asmawi Yusof, 45, yang redha dengan ujian yang ditetapkan kepada diri serta empat anaknya.

“Anak yang dah besar nampak sedih dan faham ibu mereka sudah tiada, cuma yang bongsu (berusia 5 tahun) ada juga bertanya sekali sekala di mana ibunya. Memang sukar untuk nyatakan bagaimana perasaan kehilangan orang yang tersayang, tetapi rasa reda akan memberi kekuatan kepada kami sekeluarga, InsyaAllah,” katanya.

Dalam kejadian jam 10.20 pagi itu, pemandu, Mohd Zuhairi Abdullah, 35, dan jururawat, Julayha Kudus, 39, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux yang dinaiki dirempuh sebuah lori tangki di Kilometer 32, Jalan Pekan-Rompin dekat Tanjung Batu, di sini. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram
ARTIKEL POPULAR

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download