Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 14 JANUARI 2021 : Kerajaan Pahang akan menyelaraskan bantuan banjir yang disumbangkan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerusi Persatuan Bulan Sabit Merah UAE diseluruh negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata ini bagi membolehkan bantuan sampai terus kepada mangsa yang terjejas.
“Kerajaan Negeri akan menyelaras dengan baik perkara ini (sumbangan banjir) supaya sasaran bantuan akan terus sampai kepada mangsa.
“… dan ini bagi memastikan sumbangan yang diberikan ini akan dapat meringankan beban mangsa-mangsa banjir,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di Dewan SUK Blok C Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Beliau berkata sumbangan ini adalah bantuan yang sangat diperlukan oleh mangsa yang terjejas banjir.
“Saya difahamkan setakat ini bantuan yang diberikan telah dihantar ke tiga daerah terjejas iaitu Maran, Temerloh dan Lipis.
“Dan pembungkusan dan penghantaran masih dijalankan setiap hari oleh sukarelawan yang terdiri daripada petugas di pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang sendiri,” katanya.
Pihak UAE menerusi Persatuan Bulan Sabit Merah UAE menyediakan bantuan banjir kepada 7,000 keluarga mangsa di seluruh negeri Pahang yang diserahkan kepada Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Selasa lepas. -PAHANGMEDIA
737 total views, 6 views today