YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Dr Salehuddin Ishak ketika temubual secara langsung bersama Astro Awani, hari ini.

KERAJAAN PAHANG SEDIA TIGA PELAN PEMULIHAN BANJIR

Oleh: Fairus Mohd

KUANTAN, 9 JANUARI 2021: Tiga pelan pemulihan merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang disediakan bagi membantu mangsa banjir yang terjejas.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak berkata, antara bantuan yang diberikan termasuk tenaga kerja bagi kerja-kerja pembersihan dan tempat tinggal sementara buat mereka yang kehilangan kediaman.

“Pelan jangka pendek ialah selepas sahaja banjir selesai seperti di daerah Lipis dan Raub di mana sekarang ini banjir mulai surut dan hampir semua mangsa telah pulang untuk membersihkan rumah masing-masing.

“Kerajaan Negeri telah mengatur rancangan bersama semua jabatan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan NGO untuk bantu bersihkan kediaman penduduk secara serta merta terutama bagi mengelak penyakit akibat sampah, bangkai dan najis binatang,” katanya ketika temubual secara langsung bersama Astro Awani, hari ini.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak menghantar bantuan ke Ulu Tembeling, Jerantut.

Bagi mengelak wabak penyakit juga, beliau yang juga Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, pihak Kerajaan Negeri sedang membuat perolehan air bersih sebanyak mungkin untuk diedarkan kepada penduduk.

“Kita telah buat pesanan lebih satu juta botol air minuman dan bekalan tersebut telah diterima daripada NGO dan penyumbang-penyumbang air bersih yang tampil membantu.

“Kita tidak mahu penduduk menggunakan atau memasak air yang diambil daripada sungai atau telaga yang kita bimbang tahap kebersihannya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pelan jangka masa sederhana ialah mendaftarkan mangsa banjir kehilangan rumah (musnah) termasuk yang rosak teruk serta mengaturkan perpindahan selepas selesai menguruskan penyewaan rumah (sementara).

“Bagi pelan jangka masa panjang pula, Kerajaan Negeri telah bermesyuarat dan Menteri Besar sendiri telah mengaktifkan Jawatankuasa Pra Bencana yang dipengerusikan oleh saya sendiri dengan penglibatan beberapa EXCO negeri.

“Pelan ini melibatkan usaha pemulihan ekonomi termasuk pertanian dan ternakan yang musnah serta punca pendapatan yang hilang. Kita akan bantu sepenuhnya dengan kerjasama semua pihak terlibat,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 840 total views,  6 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download