KERAJAAN PAHANG SEDIA PELUANG USAHAWAN BUMIPUTERA EKSPORT PRODUK KE NEGARA LUAR

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Muhammad Muslimi  Abd Rahim

KUANTAN: Usahawan Bumiputera di Negeri Pahang berpeluang mengeksport produk tempatan ke peringkat antarabangsa dengan bantuan dan sokongan daripada Kerajaan Negeri Pahang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, YB Dato’ Md Sohaimi Mohamed Shah berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi galakan dan peluang kepada pengusaha perniagaan Bumiputera untuk terus mengorak langkah dalam industri masing-masing.

“Para peniaga perlu mengesyorkan idea perniagaan mereka kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana saya yakin kerajaan negeri pasti akan memberikan sokongan dan bantuan sewajarnya kepada mereka bagi memastikan kelangsungan dan pengembangan usahawan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya kepada media selepas mewakili Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Merasmikan Majlis Pelancaran Ejen SAM 8005, Aiskrim Popsicle Durian Musang King dan Kafe Dooyan di Kompleks Dagangan Mahkota, di sini, pagi tadi.

YB Dato’ Md Sohaimi berkata, durian juga sinonim dengan Negeri Pahang di mana Daerah Raub sangat popular dengan buah durian yang paling enak dan digemari di serata Malaysia.

“Jadi tidak hairanlah jika produk berasaskan durian seperti aiskrim popsicle ini diperkenalkan bermula dari negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SAM Globals Resources, En Mohd Hisham Zamri berkata, dalam tempoh enam bulan akan datang, aiskrim berasaskan durian ini akan dipasarkan ke Negara China.

“Sehingga kini hampir 1 juta batang aiskrim sudah dipasarkan ke seluruh negara menerusi ejen dan juga kedai serbaneka di beberapa stesen minyak dan akan dikembangkan lagi ke negara luar,” katanya.

Katanya, sehingga kini SAM Globals Resources sudah mempunyai seramai 250 protege dengan jualan mencecah 1 juta batang aiskrim dan mensasarkan seramai 500 protege dengan jualan 5 juta batang aiskrim menjelang tahun 2020.

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download