Kerajaan Pahang Sasar Kutipan Hasil 95 Peratus Tahun 2020

KUANTAN 02 DISEMBER 2019 : Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan kutipan hasil negeri ini dapat ditingkatkan kepada 95 peratus pada tahun hadapan berbanding 90 peratus bagi tahun ini.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri menetapkan sasaran kutipan hasil untuk tahun 2020 adalah sebanyak RM744.02 juta.

“Untuk tahun 2020, saya bercadang hendak menaikkan sedikit sasaran kutipan hasil kepada 95 peratus daripada anggaran hasil pada tahun berkenaan.

“Pada akhir tahun 2018, saya telah menetapkan sasaran kutipan hasil tahun 2019 perlu mencapai sekurang-kurangnya 90 peratus daripada anggaran hasil 2019,” katanya ketika berucap pada Program Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; barisan Exco Kerajaan Negeri dan pegawai kanan Kerajaan Pahang.

Beliau berkata, sehingga 30 November, Kerajaan Negeri telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM599.57 juta berbanding sasaran yang ditetapkan sebanyak RM703.80 juta iaitu pencapaian sebanyak 85.19 peratus.

“Kerajaan Negeri menjangkakan sehingga hujung tahun ini sasaran 90 peratus kutipan hasil yang telah disasarkan tahun ini akan dapat dicapai.

“Saya berharap momentum peningkatan ini dapat diteruskan untuk bulan Disember bagi memastikan sasaran kutipan hasil sekurang-kurangnya 90 peratus bagi tahun 2019 dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga berjaya menunjukkan lebihan iaitu pendapatan melebihi perbelanjaan bagi Ogos, September, Oktober dan November.

“Kita berjaya mencapai jumlah kutipan hasil yang baik dan penjimatan yang ketara sekaligus menunjukkan ekonomi dan kedudukan kewangan Negeri Pahang berada dalam baik dan sihat,” katanya.

 22 total views,  2 views today

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *