KERAJAAN PAHANG SALUR PERUNTUKAN UNTUK DEWAN DAN MASJID

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

LIPIS: Kerajaan Pahang meluluskan peruntukan sebanyak RM70,000 bagi membaik pulih dewan serta melaksanakan pelbagai program keagamaan di masjid di POS Pantos di sini.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM50,000 diperuntukan untuk membaik pulih dewan di perkampungan Orang Asli berkenaan.

“Sejumlah RM20,000 pula akan disalurkan kepada pihak masjid untuk melaksanakan pelbagai program keagamaan selain dapat mengimarahkan masjid berkenaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Ceria Ke Sekolah Tenaga Nasional Berhad (TNB) di POS Pantos di sini hari ini.

Sebanyak 184 beg sekolah sumbangan TNB telah disampaikan oleh Menteri Besar Pahang kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lanai.

Turut hadir, Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB Tuan Ramli Dato’ Mohd Nor, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Long dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy yang juga ADUN Jelai berkata, kedudukan kewangan negeri yang baik dan stabil membolehkan peruntukan seperti ini dapat disalurkan kepada rakyat.

Sementara itu, beliau berkata, ibu bapa masyarakat Orang Asli dinasihatkan agar memberi perhatian kepada pendidikan anak-anak dengan menghantar mereka ke sekolah.

“Ini kerana kadar keciciran di kalangan pelajar Orang Asli di negeri ini masih lagi tinggi, jadi amat penting untuk ibu bapa memainkan peranan untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

“Dalam masa yang sama saya ingin berterima kasih kepada semua terutama sekali pihak TNB yang telah memberi sumbangan beg sekolah kepada anak-anak di sini,” katanya.

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: