Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang ,YB. Dato' Sri Syed Ibrahim Bin Syed Ahmad (Kanan),ketika melawat SMA Al Falah Batu Talam yang terbakar awal pagi Sabtu lepas.

KERAJAAN PAHANG SALUR BANTU SEWAJARNYA KEPADA PELAJAR SMA AL-FALAH

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib

KUANTAN, 6 JULAI 2020: Kerajaan Negeri Pahang menerusi Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sudah menyalurkan bantuan sewajarnya kepada pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Falah, Batu Talam di Raub berikutan bangunan sekolah berkenaan musnah dalam kebakaran awal pagi, Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, JAIP juga sudah menyerahkan 80 set peralatan seperti katil, tilam, selimut dan almari untuk digunakan oleh pelajar sekolah berkenaan.

“Kerajaan Negeri Pahang sudah menjaga kebajikan pelajar sejak dari awal termasuk meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menyiapkan laporan status bangunan untuk pihak Kerajaan Negeri membuat tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP) di sini hari ini.

Kejadian jam 4.19 pagi itu membabitkan dua bilik asrama lelaki, bilik simpanan dokumen, stor dan tandas.

Bagaimanapun, kira-kira 50 pelajar tingkatan 4 dan 5 asrama tersebut terselamat dalam kejadian itu dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6 pagi oleh pihak bomba.

YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim berkata, pihaknya akan menyediakan tempat tinggal sementara untuk pelajar tingkatan 1 dan tingkatan 2 di dewan utama sekolah berkenaan.

“Bagi tingkatan 4 dan tingkatan 5 kita sudah tempatkan mereka di dewan makan. Sebab dewan makan ada dua, kita gunakan satu untuk mereka,” katanya.

Sementara itu, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyampaikan bantuan zakat keseluruhannya berjumlah RM15,000 kepada 50 pelajar yang terlibat berupa barangan keperluan persekolahan seperti baju, pakaian sukan, kasut dan beg sekolah. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download