Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sijil penghargaan kepada Nur Athirah Mohamad Zaini, 19, di Wisma Sri Pahang di Kuantan.

KERAJAAN PAHANG RAI KEJAYAAN NUR ATHIRAH

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 10 FEBRUARI 2021: Kerajaan Pahang turut berkongsi rasa bangga dan gembira dengan pencapaian anak jati Pahang, Nur Athirah Mohamad Zaini, 19, yang berjaya menjulang nama negara apabila disenarai pada kedudukan kedua dunia selepas memperolehi markah tinggi bagi peperiksaan Certified Accounting Technician (CAT) pada Disember tahun lalu.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan yang dicapai Nur Athirah membuktikan bahawa ramai pelajar cemerlang mampu dilahirkan di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan kepada Nur Athirah Mohamad Zaini, 19, di Wisma Sri Pahang di Kuantan.

“Sememangnya kita di Pahang ini sangat-sangat berbangga dengan pencapaian anak-anak terutamanya dalam bidang pendidikan.

“Nur Athirah adalah satu buktinya dan saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada kedua-dua ibu bapa Nur Athirah yang berjaya mendidik anak hingga berjaya sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika menyampaikan sumbangan Yayasan Pahang kepada Nur Athirah di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Nur Athirah Mohamad Zaini, 19.

 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH Dato’ Hj. Mahmud Mohd Nawawi.

Turut serta, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perakaunan Profesional Malaysia (MyPAC), YH Dato’ Zaiton Mohd Hassan dan Pengurus Besar Hubungan Strategik Bank Islam Berhad, YH Ustaz Mohd Nazri Chik.

Sementara itu, beliau berkata, kejayaan yang dikongsi bersama itu menjadi penanda aras kepada usaha lebih gigih untuk menghasilkan anak-anak Pahang yang cemerlang pada masa akan datang.

“Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang juga sentiasa memberi perhatian kepada pelajar yang berpotensi bagi memastikan mereka dapat meneruskan pelajaran dan impian ke tahap lebih tinggi,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download