Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Mahathir Ali
KUANTAN, 9 OKTOBER 2020: Kerajaan Pahang menyalurkan peruntukan kira-kira RM1.37 juta untuk projek pembangunan dan bantuan kepada penduduk di Dewan Negeri Chini di sini.
Ahli Dewan Negeri Chini, YB. Encik Mohd Sharim Md Zain berkata, daripada jumlah itu, peruntukan untuk bantuan kepada golongan kurang berkemampuan adalah sebanyak RM591,156.
“Bantuan ini diberikan kepada golongan kurang berkemampuan, pesakit kronik, mangsa bencana dan beberapa lagi asnaf untuk membantu meringankan beban mereka,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di pejabatnya di FELDA Chini 3 di sini, semalam.
Beliau berkata, untuk projek pembangunan pula, Kerajaan Pahang memperuntukan sebanyak RM785,000 bagi projek pembangunan dan membaiki beberapa infastruktur di dalam Dewan Negeri Chini.
“Ini termasuk membina kubah Masjid Hidayah di FELDA Chini 1, membaiki jalan rosak di Kampung Semambu, menaiktaraf jambatan kayu Sungai Mentiga di FELDA Chini 5, naiktaraf bangunan JKKR FELDA Chini Timur 1, naiktaraf Masjid Al Khairiah FELDA Chini 2 dan bina baru tapak Pekan Sehari FELDA Chini 2,” katanya.
Katanya lagi, kebanyakkan projek berkenaan dalam proses pembinaan dan kira-kira 80 peratus sudah disiapkan oleh kontraktor yang dilantik.
“Peruntukan ini adalah janji yang dibuat ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri Chini dan ini membuktikan bahawa Kerajaan Pahang pimpinan Menteri Besar, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menunaikan janji yang dibuat,” katanya.
“Ini juga membuktikan Kerajaan BN Negeri Pahang sememangnya mengambil berat dan mengotakan segala janji yang dibuat,” katanya. – PAHANGMEDIA
354 total views