Sesi Town Hall bersama-sama Ahli majlis pihak berkuasa tempatan Negeri Pahang di Dewan Utama, Majlis Perbandaran Kuantan di Kuantan.

KERAJAAN PAHANG PERTIMBANG LONGGAR MASA OPERASI PENIAGA KECIL

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 03 NOVEMBER 2020: Kerajaan Pahang akan mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran masa beroperasi kepada para peniaga kecil di negeri ini berikutan pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd. Rahim Muda berkata, perkara ini akan dibawa kepada pihak Kerajaan Negeri dahulu untuk diputuskan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd. Rahim Muda.

“Ada peniaga yang meminta waktu perniagaan dilanjutkan sampai pukul 12 tengah malam, contohnya bagi perniagaan car boot sale. Jadi saya akan bawa perkara ini kepada pihak Kerajaan Negeri kerana inilah peluang bagi peniaga-peniaga untuk menambah pendapatan yang sedia ada.

“Dan Kerajaan Pahang memang bersedia sebenarnya tetapi pematuhan kepada SOP (Prosedur Operasi Standard) untuk COVID-19 ini kita perlu utamakan sebab kita takut nanti bila kita buka peluang kes jadi meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Townhall Bersama Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Pahang di Dewan Utama, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, YB. Dato’ Haji Nor Azmi Md Ludin; Setiausaha Bahagian (Bahagian Kerajaan Tempatan), Puan Ismayati Ismail; Setiausaha Bahagian (Bahagian Perumahan), YH. Dato’ Azlan Mohd Yaman dan Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), YH. Dato’ Hamdan Hussin.

Beliau berkata, pihaknya dan PBT mengambil tindakan menang-menang bagi memastikan peniaga kecil ini diberi peluang sewajarnya tetapi memastikan mereka ini patuh kepada undang-undang sedia ada.

Antara peserta yang menghadiri Sesi Town Hall bersama-sama Ahli majlis pihak berkuasa tempatan Negeri Pahang di Dewan Utama, Majlis Perbandaran Kuantan di Kuantan.

“Dalam masa sekarang, rakyat banyak mengeluh ada yang dibuang kerja dan kebanyakan mereka ini mengambil jalan mudah dengan menceburi bidang perniagaan.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Pahang kerana membenarkan perniagaan pasar malam dan juga car boot sale berniaga kerana keadaan COVID-19 di tempat kita ini dilihat masih lagi terkawal.

“Kita mahu mereka (peniaga kecil) ini mengikut SOP dengan menjaga kebersihan dan menjaga keselamatan di mana mereka perlu memastikan jualan tidak menggangu pengguna jalan raya atau di tempat berbahaya,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: