Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

KERAJAAN PAHANG PERJELAS PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN BAGI ELAK KEKELIRUAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Mahathir Ali

KUANTAN, 18 MAC 2020: Kerajaan Negeri Pahang mengeluarkan satu kenyataan bagi memudahkan rakyat di negeri ini menyusun dan mengatur gerak yang lebih tersusun dan menyeluruh dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan virus COVID-19 yang bermula hari ini sehingga 31 Mac nanti.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata tidak nafikan akan berlaku sedikit ketidakselesaan pada kegiatan harian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan tetapi inilah pengorbanan yang harus dilakukan bagi menghadapi situasi yang amat mencabar ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri menerusi Jawataknkuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri telah membuat beberapa keputusan yang selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 20 berkaitan perintah ini.

“Kerajaan Negeri telah memutuskan bahawa semua Pejabat Kerajaan dan Badan Berkanun Negeri kecuali agensi penguatkuasaan dan perkhidmatan penting termasuk UTC Pahang dan RTC Pahang akan ditutup.

“Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), Terminal Sentral Kuantan (TSK) dan Perkhidmatan Bas Domestik akan beroperasi namun premis-premis selain premis makanan di tempat tersebut akan ditutup.

“Semua urusan perbankan masih diteruskan tetapi penggunaan kemudahan perbankan internet lebih digalakkan. Bagi operasi kilang-kilang bergantung kepada keputusan terkini Kementerian-kementerian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Selain itu, kenyataan tersebut juga meminta semua pemegang permit atau lesen batuan, mineral dan balak menghentikan aktiviti pemindahan dan pengeluaran bahan mineral, batuan dan balak termasuk aktiviti memproses bahan tersebut dalam tempoh dua minggu ini.

“Bagi aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuklah solat Jumaat dan solat berjemaah tidak akan diadakan tetapi Muazzin dibenarkan melaungkan azan serta rumah ibadat bagi semua agama hanya dibenarkan dibuka bagi tujuan pengurusan berkaitan dengan kematian sahaja.

“Bagi pasaraya, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian, dibenarkan beroperasi. Manakala pasar awam pula hanya dibenarkan beroperasi dari pukul 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari sahaja.

“Walau bagaimanapun, semua aktiviti pasar tani dan pasar pagi dihentikan, begitu juga operasi pasar malam dan ‘car boot sale’,” katanya lagi.

Pasaraya, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian, dibenarkan beroperasi.

Beliau berkata semua premis menjual makanan di negeri ini boleh dibuka dengan beberapa syarat yang digariskan.

“Bagi premis menjual makanan pelanggan tidak dibenarkan makan di premis dan hanya perkhidmatan bawa pulang (take away) dan pandu lalu sahaja dibenarkan.

“Bagi semua bentuk hiburan dan sukan termasuklah taman tema, kelab sukan, kelab golf, pusat akuatik, gimnasium, dewan awam/orang ramai sama ada kerajaan serta swasta, pusat hiburan termasuklah disko, kelab malam, pub, mesin slot, arked hiburan keluarga iaitu karaoke, snooker, panggung wayang, fun-fair dan seumpamanya, rumah kesihatan iaitu spa, urut, sauna dan seumpamanya juga ditutup,” katanya.

Tambahan beliau lagi, bagi semua urusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh dijalankan tetapi hanyalah melibatkan urusan mendaftar kelahiran baharu, pendaftaran kematian dan pendaftaran dan penggantian kad pengenalan sahaja.

YAB. Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri memberi kelonggaran kepada beberapa jenis keperluan yang dibenarkan beroperasi dalam had waktu yang ditetapkan.

“Kerajaan Negeri menyedari kepentingan keperluan kecemasan, bengkel membaiki kenderaan, pusat servis dan kedai tayar, di mana ia akan dibenarkan beroperasi dengan had waktu dari pukul 10.00 pagi hingga 3.00 petang.

“Bagi penghuni hotel, residensi dan asrama Institusi Pengajian Tinggi (IPT), mereka boleh kekal menginap di premis masing-masing.

“Semua ‘coffee house’ di hotel tidak dibenarkan beroperasi kecuali untuk kegunaan tetamu yang menginap di hotel sahaja manakala semua kedai menjual makanan dan keperluan haiwan dibenarkan untuk beroperasi sehingga pukul 12.00 tengah hari sahaja,” katanya.

Semua aktiviti pasar tani dan pasar pagi dihentikan.

Beliau berkata pusat asuhan kanak-kanak dibenarkan terus beroperasi khusus kepada anggota perkhidmatan penting sahaja.

Menurut kenyataan beliau lagi, penguatkuasa bersama melibatkan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan membuat pemantauan di seluruh premis bagi memastikan pematuhan arahan yang telah dikeluarkan dan sebarang perlanggaran arahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua (2) tahun.

Beliau dalam kenyataan yang sama turut menasihatkan rakyat negeri ini supaya akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan serta langkah-langkah lanjutan yang diambil oleh Kerajaan Negeri.

“Saya harap kita dapat melalui tempoh sukar ini dengan hasil yang terbaik, Insya-Allah.

“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada para petugas kesihatan serta semua pihak yang terlibat dalam menangani wabak Pandemik COVID-19 ini,” katanya.- PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: