YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato' Sri Dr Sallehuddin Ishak.

KERAJAAN PAHANG PANDANG SERIUS ISU PENANAMAN DURIAN SECARA HARAM

KUANTAN, 1 OGOS 2020: Kerajaan Negeri Pahang memandang serius dalam menangani isu pencerobohan dan penanaman durian secara haram seluas kira-kira 11,000 ekar di Raub sebagaimana yang dinyatakan oleh YB Ahli Parlimen Raub di Dewan Rakyat pada 23 Julai 2020.

YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak berkata, perkara itu perlu diatasi segera secara tegas demi melindungi industri durian tempatan.

Beliau berkata, durian yang dikeluarkan oleh ladang-ladang haram ini tidak mempunyai sijil MYGAP, melanggar banyak peraturan dan menyalahi protokol pengeksportan sehingga menjejaskan industri durian negara.

“Penanaman haram ini turut memberi kesan kepada alam sekitar dan menjejaskan kelestarian alam, khususnya hutan simpan dan sumber air.

“Selain itu, Kerajaan Negeri telah kehilangan hasil cukai tanah dan hak Kerajaan Negeri telah dinafikan. Berdasarkan kadar terendah pajakan dan cukai tanah, dianggarkan kerugian Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM30 juta untuk 10 tahun,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini.

Beliau juga berkata, bagi mengatasi masalah itu, Kerajaan Negeri telah membuat keputusan agar Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Group menyelesaikan masalah penanaman haram ini secara terbaik untuk menjaga kepentingan semua pihak.

Beliau berkata, sebagai tambahan, mereka perlu mematuhi keperluan peraturan alam sekitar, persijilan MY GAP dan peraturan-peraturan berkaitan.

“Kerajaan Negeri akan menggunakan peruntukan undang-undang secara tegas
dalam isu ini dan tetap akan mengambil tindakan ke atas penggunaan tanah
kerajaan secara haram dan pencerobohan hutan,” katanya.-PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download