YB. Dato' Sri Hajah Shahaniza Binti Shamsuddin menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri Pahang kepada ibu mangsa kemalangan maut yang dirempuh oleh kereta pemandu mabuk di Jalan Pintasan Kuantan tempoh hari.

KERAJAAN PAHANG PANDANG SERIUS ISU PEMANDU MABUK

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 28 Mei 2020: Kerajaan Negeri Pahang memandang serius burhubung isu pemandu mabuk sehingga membahayakan nyawa pemandu lain.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, tindakan sewajarnya perlu diambil bagi memastikan tragedi pemandu mabuk sehingga mengorbankan nyawa pemandu lain tidak berulang.

“Kerajaan Negeri berusaha membantu keluarga Allahyarham daripada pelbagai aspek terutama pendidikan untuk anak-anaknya, Yayasan Pahang telah menawarkan bantuan persekolahan dan balu Allahyarham juga berbakat dalam bidang pereka grafik dan hanya bekerja dari rumah, Insyaa Allah kita akan cuba bantu beliau meneruskan kerjaya beliau sebagai pereka grafik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan kunjungan ziarah keluarga Allahyarham Irwan Herman Kamaruddin di kediaman ibu bapanya di Taman Guru, di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin.

Pada kunjungan ziarah itu, kerajaan negeri turut menyumbangkan bantuan barangan keperluan dan wang tunai kepada keluarga Allahyarham.

Allahyarham yang berusia 41 tahun maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Pintasan Kuantan pada 26 Mei 2020 melibatkan seorang pemandu mabuk yang memandu melawan arus dipercayai akibat pengaruh alkohol.

Sehubungan itu, isteri Allahyarham, Zeti Haryanti Hassan, 42, berkata, keluarganya berharap agar tindakan sewajarnya dapat diberikan kepada pemandu mabuk ini supaya dapat memberi pengajaran kepada pemandu lain.

Beliau juga meminta agar saksi pada malam kejadian untuk turut tampil bagi membantu siasatan kes tersebut di bawah Seksyen 44 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Keluarga Allahyarham Irwan Herman Kamaruddin di kediaman ibu bapanya di Taman Guru, di sini, hari ini.

Sementara itu, ibu kepada Allahyarham, Sakiah Mohd Noor, 58, berkata, anak sulung kepada empat beradik itu merupakan seorang anak yang sangat bertanggungjawab terhadap keluarga.

“Dia sangat baik dari kecil sehingga dewasa tidak pernah bercakap kasar dengan saya dan adik beradik, mesti dia panggil saya mak dan bahasakan diri dia tu saya,” katanya mengimbau keperibadian Allahyarham.

Difahamkan ketika kejadian, Allahyarham yang bertugas sebagai penyelia di Alam Flora Sdn Bhd berada dalam perjalanan dari rumah di Sungai Isap ke tempat kerjanya di depoh Alam Flora di Gebeng.

Jenazah Allahyarham telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung SC, Kuantan. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: