YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato' Sri Dr. Sallehuddin Ishak (tengah) memeriksa alat pelindung diri yang dibuat oleh kakitangan dan pelajar KUIPSAS.

KERAJAAN PAHANG MOHON PEMBEKAL TAMPIL BANTU PEMBUATAN PPE

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 31 MAC 2020: Kerajaan Pahang memohon pembekal peralatan perlindungan diri (PPE) untuk tampil memberikan kerjasama bagi memastikan proses pembuatan PPE lancar.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak berkata, negeri Pahang memerlukan 1 juta PPE bagi kegunaan di seluruh negeri ini.

Ia termasuklah untuk kegunaan petugas barisan hadapan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, semua pusat kuarantin dan petugas-petugas yang terlibat dengan purata penggunaan sebanyak 10,000 sehari.

Sehubungan itu, kerajaan negeri memerlukan lebih ramai sukarelawan bagi membantu pembuatan PPE supaya dapat memenuhi permintaan daripada pihak hospital agar tidak mengganggu proses merawat.

“Kita berharap ada pembekal atau pengilang yang boleh menawarkan pembekalan bahan-bahan pembuatan PPE ini dapat menghubungi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dengan kadar segera bagi memastikan segala keperluan pembuatan PPE ini mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengunjungi sukarelawan di Dewan Barakah Kolej Universiti Islam Sultan Haji Ahmad Shah (KUIPSAS) bagi melihat sendiri proses pembuatan pelindung muka (face shield) di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri mempunyai ramai sukarelawan namun bekalan bahan pembuatan PPE masih tidak mencukupi.

Dalam perkembangan lain, beliau berharap tiada peningkatan ketara bagi kes baru COVID-19 di negeri ini memandangkan pertambahan agak perlahan dalam tempoh beberapa hari ini.

Beliau berharap rakyat Pahang akan terus mematuhi arahan dan perintah kerajaan sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan sehingga 14 April depan.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak (tengah) memeriksa alat pelindung diri yang dibuat oleh kakitangan dan pelajar KUIPSAS.

Sementara itu, Rektor KUIPSAS, Prof. Madya Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata, sukarelawan dari KUIPSAS dikehendaki menyiapkan 1,000 pelindung muka bagi kegunaan hospital sekitar Pahang.

“Alhamdulilah, sejak semalam kami berjaya menyiapkan 400 pelindung muka dalam tempoh dua hari dan berharap kesemua 40 sukarelawan terdiri daripad pelajar dan kakitangan KUIPSAS berjaya menyiapkan baki 600 lagi pelindung muka ini,” katanya.

Jelasnya, kesemua mereka bertugas secara bergilir bermula jam 9 pagi sehingga 11.30 malam bagi menyiapkan pelindung muka dalam tempoh ditetapkan namun beberapa bahan yang diperlukan seperti getah telah kehabisan stok.

Seorang pelajar KUIPSAS dari Sabah, Ahmad Nazam Abd Halil, 27, berkata, beliau menawarkan diri menjadi sukarelawan bersama rakannya bagi membantu pihak KUIPSAS menyiapkan PPE.

“Setakat ini kami telah berjaya menyiapkan 400 pelindung muka dan masih memerlukan 600 lagi kerana jumlah yang diperlukan ialah 1,000 pelindung muka,” katanya.

Kesemua mereka bekerjasama menyiapkan pelindung muka di Dewan Barakah KUIPSAS memasuki hari kedua. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download