Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ditemani Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli; dan Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pekan, Encik Ir. Mohamad Azam Mohd Nor meninjau hakisan tanah sekitar kawasan pantai di Tanjung Batu, Nenasi.

KERAJAAN PAHANG MINTA PERUNTUKAN BAIK PULIH PANTAI DISAMBUNG SEMULA

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Mahathir Ali

PEKAN, 9 FEBRUARI 2021: Kerajaan Pahang meminta peruntukan bagi membaik pulih kawasan pantai yang terhakis teruk sebelum ini dapat disambung semula bagi membolehkan kawasan yang terjejas dibaiki segera.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, sebelum ini Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sejumlah peruntukan untuk digunakan dalam projek tambakan pantai, namun projek tersebut ditangguhkan.

“Sebelum ini kita pernah memohon sejumlah peruntukkan untuk digunakan dalam projek tambakan pantai dan saya dimaklumkan ia telah diluluskan pada masa itu, namun projek tersebut ditangguhkan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff melihat kesan pokok tumbang akibat ombak yang kuat baru-baru ini di sekitar Pantai Nenasi.

“Justeru saya memohon agar peruntukkan tersebut dapat diberikan semula supaya projek yang nak kita laksanakan itu dapat dijalankan secepat mungkin bagi memastikan kecantikannya dapat kita kembalikan semula seperti sediakala,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melakukan tinjauan hakisan pantai di kawasan Tanjung Batu dan Pantai Nenasi di sini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli dan Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pekan, Encik Ir. Mohamad Azam Mohd Nor.

Antara kesan hakisan akibat ombak yang kuat di Kampung Nenasi Pantai.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar berkata, masalah hakisan pantai ini bukanlah satu perkara luar biasa tetapi merupakan satu proses alam semulajadi.

“Cuma hari ini kita dapat lihat hakisan ini berlaku dengan begitu ketara mungkin disebabkan pemanasan global yang menyebabkan peningkatan paras air laut dan apabila tiba musim tengkujuh dan menyebabkan ombak besar datang ke pantai kita dan menyebabkan pantai dihakis dengan teruk sekali,” katanya.

Beliau berkata, projek tambakan pantai yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri merupakan salah satu cara bagi menangani masalah hakisan ini.

“Kita telah dapat melihat satu projek dinamakan beach nourishments (tambakan pantai) iaitu ia projek yang sangat baik di mana pasir sungai yang diambil ditambak ke tepi pantai dan seperti mana kita dapat lihat di sini.

“Kalau dulu air sampai ke tepi jalan tapi hari ini kita dapat lihat pantai yang semulajadi ini telah dapat kita lihat 100 meter daripada jalan ni.

“Jadi projek beach nourishments ini adalah satu projek yang sangat baik, memastikan lebih banyak kawasan yang terhakis, yang teruk terhakis,” katanya.

Meninjau keadaan projek Beach Nourishments (tambakan pantai) di mana pasir sungai yang diambil ditambak ke tepi pantai Nenasi.

Menurut beliau, sebanyak RM4 juta telah diperuntukkan bagi membaik pulih kawasan pantai sejauh 500 meter bermula daripada SMK Nenasi ke SJK (C) Nenasi pada Oktober 2019 lepas.

“Untuk makluman di daerah Pekan ini, kawasan pantai Nenasi sepanjang lebih kurang 98 kilometer dan boleh dikatakan daerah yang paling tinggi hakisannya lebih kurang empat meter hingga lapan meter setahun.

“Bila kita lakukan tinjauan dapat dilihat banyak sekali kawasan-kawasan yang dah dihakis dan tindakan untuk kita ambil sedang kita laksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli berkata pihaknya sedang dalam proses mengenalpasti pemilik tanah yang ditenggelami air laut bagi proses selanjutnya.

Menurut Encik Ir. Mohamad Azam kaedah yang digunakan di Pantai Nenasi ini berbeza dengan tempat lain kerana mengguna pakai tambakan pantai di mana tiada batu atau struktur digunakan untuk menambak laut.

Beliau berkata, ia bertujuan untuk menolak semula garis pantai yang menyebabkan hakisan berlaku ke laut dan memastikan kawasan daratan kekal. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download