Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato' Abd Aziz Haji Mat Kiram menyampaikan surat tawaran kepada penerima pada Majlis Pecah Tanah dan Penyampaian Surat Tawaran Projek RRP Peringkat Daerah Raub di Kampung Sega Lama di Raub hari ini.

KERAJAAN PAHANG MEMPUNYAI KEWANGAN KUKUH BANTU RAKYAT

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

RAUB, 26 SEPTEMBER 2020: Pelaksanaan program-program kebajikan termasuk pembinaan Perumahan Rakyat Pahang (RRP) jelas membuktikan bahawa Kerajaan Pahang yang dipimpin oleh Menteri Besar, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail mempunyai kewangan yang kukuh dalam membantu rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram, walaupun sebelum ini ada pihak yang mendakwa Kerajaan Pahang akan bankrap selepas menjadi pembangkang, namun dakwaan itu langsung tidak berlaku.

“Malah pelbagai perancangan dan strategi yang dilaksanakan oleh YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berjaya menyediakan pelbagai program kebajikan kepada masyakat termasuk projek RRP.

“Ini juga terbukti apabila sepanjang pandemik COVID-19 berlaku, Kerajaan Pahang berjaya menyalurkan bantuan lebih RM30 juta kepada pihak yang terlibat. Jika kita tidak ada duit, mana boleh buat semua program-program kebajikan ini,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram ketika Majlis Pecah Tanah dan Penyampaian Surat Tawaran Projek RRP Peringkat Daerah Raub di Kampung Sega Lama di Raub hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika Majlis Pecah Tanah dan Penyampaian Surat Tawaran Projek RRP Peringkat Daerah Raub di Kampung Sega Lama di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Raub, YH. Dato’ Mohammad Shahid Ismail.

Sementara itu beliau berkata, tujuh unit RRP di kawasan Daerah Raub merupakan sebahagian daripada 98 buah projek di seluruh negeri yang melibatkan peruntukan sebanyak RM65,000 untuk sebuah rumah.

“Saya minta kontraktor yang terlibat dapat menyiapkan rumah ini dalam tempoh yang ditetapkan kerana jika lambat siap akan menyusahkan pelbagai pihak termasuk penerima itu sendiri,” katanya.

Zulkifli Sojor, 51, menunjukan surat tawaran pada Majlis Pecah Tanah dan Penyampaian Surat Tawaran Projek RRP Peringkat Daerah Raub di Kampung Sega Lama di Raub hari ini.

Sementara itu, seorang penerima Zulkifli Sojor, 51, berkata, sebelum ini beliau pernah memohon bantuan rumah daripada Kerajaan Persekutuan namun tidak pernah diluluskan.

“Tetapi Alhamdulillah, akhirnya Kerajaan Negeri memilih saya untuk mendapat rumah ini. Memang saya tidak mampu untuk membina rumah kerana bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan yang tidak menentu.

“Terima kasih kepada semua pihak terutamanya YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy, YB. Dato’ Abd Aziz, Penghulu, Ketua Kampung dan semua yang membantu saya untuk mendapatkan rumah ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: