Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB Dato’ Abd Rahim Muda (dua kanan) diberi penerangan mengenai Rumah Mesra Syariah oleh Pengarah Pembinaan Jaya Depan, En. Jason Tee (kanan) pada Majlis Pelancaran Rumah Mesra Syariah Taman Gelanggi RMS di Jerantut, hari ini.

KERAJAAN PAHANG MAHU PASTIKAN RAKYAT NEGERI INI MILIKI RUMAH SENDIRI

Oleh : Fansurina Abdullah

JERANTUT, 22 OGOS 2020 : Kerajaan Negeri Pahang berusaha membantu rakyat di negeri ini untuk memiliki rumah menerusi pelbagai program dan insentif yang disediakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB Dato’ Abd Rahim Muda berkata, pelbagai usaha sentiasa difikirkan kerajaan bagi memastikan rakyat di negeri ini mampu memiliki rumah dan kediaman masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB Dato’ Abd Rahim Muda melancarkan Rumah Mesra Syariah Taman Gelanggi RMS di Jerantut, hari ini.

Katanya, ini penting bagi memastikan rakyat dapat menyediakan tempat tinggal yang selesa kepada keluarga.

“Ini dikategorikan sebagai rumah mampu milik dan sangat memberi manfaat kepada masyarakat bukan sahaja orang Islam tetapi dengan konsep mesra syariah ini menyediakan bilik yang mencukupi, ada empat bilik semua sekali, bilik untuk pengasingan untuk anak lelaki dan perempuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Rumah Mesra Syariah (RMS) Taman Gelanggi RMS di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB Dato’ Abd Rahim Muda dan Pengarah Pembinaan Jaya Depan, En. Jason Tee (kanan) menyerahkan sumbangan RM5,000 kepada Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar pada Majlis Pelancaran Rumah Mesra Syariah Taman Gelanggi RMS di Jerantut, hari ini

Hadir sama ialah Ahli Dewan Negeri Kuala Semantan, YB Dato’ Haji Nor Azmi Mat Ludin; Setiausaha Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, YH Dato’ Azlan Mohd Yaman; Pegawai Daerah Jerantut merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Jerantut, Puan Khairun Nissa Aris dan Pengarah Pembinaan Jaya Depan, En. Jason Tee.

Dalam pada itu Dato’ Abd Rahim berkata, idea pembinaan RMS menerusi pemaju Pembinaan Jaya Depan Sdn Bhd ini merupakan pertama di negeri ini dan perlu diperluaskan ke daerah-daerah lain di Pahang kerana manfaatnya yang sangat luas.

Salah satu keunikan yang diperkenalkan adalah dengan menyediakan tanda arah kiblat bagi setiap rumah dan memperoleh pengesahan daripada Jabatan Mufti Negeri Pahang (Unit Takwim dan Arah Kiblat).

Beliau berkata, selain kemudahan tanda arah kiblat, terdapat beberapa ciri unik yang diketengahkan bagi RMS ini.

Reka bentuk tandas juga dibina supaya tidak menghadap atau membelakangi arah kiblat dan turut disediakan ruang wudhuk yang selesa.

“Paling utama adalah kawasan kejiranan yang menerapkan nilai-nilai syariah yang harmoni,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB Dato’ Abd Rahim Muda menunjukkan sijil pengesahan tanda arah kiblat yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Pahang pada Majlis Pelancaran Rumah Mesra Syariah (RMS) Taman Gelanggi RMS di Jerantut, di sini, hari ini.

Tambahnya, ciri-ciri RMS adalah penting kepada umat Islam malah sangat bersesuaian dengan golongan bukan Islam memandangkan suasana kondusif dan harga yang berpatutan yang diperkenalkan oleh pemaju.

Dato’ Abd Rahim juga berharap usahama di antara Kerajaan Negeri dan Syarikat Pembinaan Jaya Depan dapat dijalin pada masa hadapan dalam menyediakan lebih banyak kediaman seumpama itu untuk rakyat Pahang.

Pada majlis itu turut disampaikan sumbangan kepada Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar dan golongan asnaf. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download