Menteri Besar Pahang, YAB. Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kanan) ketika merasmikan Majlis Penyampaian Kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP) di Kampung Menson, Cameron Highlands.

KERAJAAN PAHANG LAKSANA OPS BERTAM, BANTERAS AKTIVITI PERTANIAN HARAM

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

CAMERON HIGHLANDS, 3 DISEMBER 2020: Kerajaan Pahang sedang melaksanakan Ops Bertam atau Ops Lestari 2 bagi bertindak menghentikan aktiviti pencerobohan tanah haram sepanjang rezab jalan dan sungai di Lembah Bertam di sini, sejak dua hari lalu.

Operasi yang dijangka berakhir Jumaat ini membabitkan sebanyak 98 lot tanah seluas 34.28 hektar yang telah diteroka secara haram itu.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, operasi yang membabitkan pelbagai agensi penguatkuasa itu setakat ini berjalan lancar dan mendapat kerjasama daripada peneroka tanah haram.

“Mereka yang terlibat didapati telah membuka khemah-khemah plastik di kawasan terbabit.

“Bila diarahkan untuk mereka mengosongkan tanah ini, saya lihat mereka secara sukarela berbuat demikian seolah-olah sudah memahami bahawa mereka meneroka tanah kerajaan secara haram.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

“Jadi, saya ucapkan terima kasih kepada peneroka yang meneroka tanah tersebut kerana memberi kerjasama baik kepada semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP) di Kampung Menson, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, keadaaan ini berbeza dalam operasi di Sungai Ichat di sini yang mendapat tentangan daripada peneroka haram.

“Tindakan kita sebelum ini telah berjaya memulihkan Sungai Ichat dan sebab itu apabila operasi kini di Lembah Bertam ini, peneroka haram memberi kerjasama yang baik,” katanya.

Sehubungan itu, Kerajaan Pahang memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak sewenangnya meneroka tanah milik kerajaan secara haram di negeri ini.

Katanya, penerokaan terhadap tanah haram milik kerajaan merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan perundangan.

“Saya seru kepada semua pihak supaya tidak sesekali meneroka tanah kerajaan secara haram dan ia satu kesalahan. Kalau ada kawasan yang dikesan diterokai secara haram, saya akan pastikan mereka terlibat mengosongkan tanah tersebut,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram
ARTIKEL POPULAR

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download