Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail membantu kerja-kerja pembersihan di SK Kertau, Chenor, Maran pada Program Sukarelawan Pahang, hari ini.

KERAJAAN PAHANG KECUALIKAN SEWA KEPADA GERAI TERKESAN BANJIR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

BERA, 21 JANUARI 2021 : Kerajaan Pahang akan memberikan pengecualian sewa kepada penyewa gerai milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terkesan banjir.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Kerajaan Pahang akan memberikan pengecualian sewa untuk Januari tahun ini kepada mereka.

“Pengecualian sewa gerai-gerai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ini adalah untuk satu tempoh sehingga gerai-gerai terbabit dipulihkan sepenuhnya bagi gerai yang mengalami rosak teruk akibat banjir,” katanya.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail membantu kerja-kerja pembersihan di SK Kertau, Chenor, Maran pada Program Sukarelawan Pahang, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Sukarelawan Pahang di SMK Mengkarak, Guai, di sini hari ini.

Sebelum itu beliau turut menghadiri dan melaksanakan aktiviti pembersihan di Sekolah Kebangsaan Kertau, Chenor, Maran.

Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Sentul, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norulazali Sulaiman; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain; dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda.

Beliau berkata Kerajaan Pahang juga bersetuju untuk memberikan rebat kepada Ketua Isi Rumah (KIR) bagi kegunaan air domestik.

“Pemberian rebat kepada Ketua Isi Rumah sehingga RM15 bagi kegunaan air domestik untuk bulan Januari tahun ini.

“Bagi rumah yang kehilangan sepenuhnya, total lost, rebat penuh kegunaan air diberikan kepada Ketua Isi Rumah terbabit untuk bulan Januari dan Februari,” katanya.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Pahang juga mempertimbangkan untuk memberi sumbangan one-off kepada Ketua Isi Rumah yang berdaftar.

“Kita mempertimbangkan untuk memberi bantuan one-off pada kadar tertentu kepada Ketua Isi Rumah yang berdaftar dengan Pusat -pusat Operasi Banjir (PKOB) di daerah masing-masing.

“Kita sedang fikir berapakah jumlah yang kita bagi, dan buat masa ini kita mungkin akan bagi dalam bentuk cash sebab daripada pemerhatian dan maklumat yang saya dapat, mangsa banjir ini sekarang ini mereka kata bekalan makanan sudah terlampau banyak dan peralatan juga mencukupi. Jadi kita sedang memperhalusi cara untuk kita salurkan,” katanya.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail membantu kerja-kerja pembersihan di SK Kertau, Chenor, Maran pada Program Sukarelawan Pahang, hari ini.

Menurut beliau lagi, Kerajaan Pahang juga akan menyediakan peruntukkan bagi mereka yang kehilangan rumah akibat banjir.

“Peruntukan untuk tempoh masa tertentu kepada Ketua Isi Rumah yang perlu menyewa rumah lain akibat kehilangan rumah mereka sepenuhnya, total lost akibat banjir.

“Kita juga meminta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) mengemaskini maklumat terperinci tentang mangsa-mangsa banjir termasuk jenis kerosakan rumah dialami bagi tujuan penyaluran bantuan susulan oleh Kerajaan Negeri, Kerajaan Pusat, dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) serta sumbangan Kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

“Pejabat-pejabat Daerah dan Tanah akan menyelaraskan usaha mengesan rumah-rumah mangsa banjir yang perlu diberi bantuan kerja-kerja penyelanggaraan pendawaian elektrik yang rosak akibat banjir,” katanya.

Seramai 47,562 mangsa banjir telah dipindahkan di 444 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sejak banjir melanda negeri ini awal bulan lalu. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download