YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail diberi penerangan oleh pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia berkenaan situasi semasa pusat kuarantin di KUIPSAS pada lawatan YAB Menteri Besar Pahang ke kolej itu bagi meninjau SOP penempatan calon SPM di Kuantan, hari ini.

KERAJAAN PAHANG JADIKAN KUIPSAS SEBAGAI PUSAT KUARANTIN KHAS BAGI CALON SPM

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 05 FEBRUARI 2021 : Kerajaan Pahang telah menjadikan Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) sebagai pusat kuarantin khas bagi menempatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang keluarganya positif COVID-19.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seramai 19 calon SPM yang akan menduduki peperiksaan itu pada 22 Februari ini ditempatkan di kolej itu sejak semalam.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail diberi penerangan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Tuan Haji Zaimi Abu Bakar pada lawatan YAB Menteri Besar Pahang ke KUIPSAS bagi meninjau SOP penempatan calon SPM di kolej itu, di Kuantan hari ini.

“Ini adalah tindakan proaktif oleh Kerajaan Pahang yang prihatin dengan anak-anak ini supaya mereka lebih fokus dan tidak terjejas untuk menghadapi peperiksaan SPM nanti.

“Dan bagi memudahkan mereka mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan lebih selesa dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat KUIPSAS bagi meninjau Prosedur Operasi Standard (SOP) Penempatan Calon SPM di sini hari ini.

Turut hadir, Rektor KUIPSAS, Ybhg. Prof. Madya Dr. Haji Mohd Zawavi bin Zainal Abidin; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Tuan Haji Zaimi Abu Bakar; dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Inderapura, YB. Dato’ Sri Shafik Fauzan Haji Sharif.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berbual dengan pelajar menerusi intercom pada lawatan beliau ke KUIPSAS, Kuantan hari ini.

Beliau dalam program yang sama turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada 19 pelajar yang ditempatkan di pusat kuarantin tersebut.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10,000 kepada semua pelajar yang ada di sini untuk membeli peralatan peribadi mereka seperti kertas, pen, sabun mandi dan sebagainya.

“Tetapi sekiranya ada keperluan yang diperlukan lagi, Kerajaan Negeri akan menambah lagi peruntukkan ini,” katanya.

Seramai 19 calon SPM yang terdiri daripada 12 pelajar lelaki dan tujuh pelajar perempuan khususnya dalam kalangan anak pegawai Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang terkesan dengan wabak pandemik COVID-19 ditempatkan sementara di sini.

Petugas Radicare melaksanakan kerja-kerja sanitasi di kawasan asrama KUIPSAS yang dijadikan penempatan bagi pelajar terutamanya calon yang menduduki peperiksaan yang keluarga mereka positif COVID-19.

“Penempatan ini adalah berdasarkan keperluan SOP termasuklah daripada segi penjarakan sosial, di mana kita telah menetapkan, sebuah bilik bagi seorang pelajar dan KUIPSAS ada sediakan 200 bilik.

“Anak-anak pelajar ini juga disediakan khidmat internet untuk mereka ikuti PdPR, serta makan-minum secukupnya yang diselaraskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Semoga dengan ini, anak-anak pelajar dapat belajar dalam suasana tenteram dan berkesan, seterusnya menghadapi SPM dengan tenang dan berjaya,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download