Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) bersama peneroka yang menerima suratan hak di Dewan Semai Bakti Felda Chini Timur 3, hari ini.

KERAJAAN PAHANG HADIAHKAN RM40 BILION NILAI TANAH UNTUK PENEROKA FELDA

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim

PEKAN, 14 JUN 2020: Kerajaan Negeri telah melepaskan nilai tanah atau suratan hak miliknya berjumlah RM40 bilion kepada 38,654 peneroka Felda, melibatkan keluasan kira-kira 182,000 hektar di seluruh Pahang setakat ini.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia dilakukan bagi kepentingan rakyat khususnya di kawasan luar bandar.

“Demi memikirkan kesejahteraan masyarakat di luar bandar maka usaha untuk memberikan tanah yang diusahakan oleh Felda harus dilakukan.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail (kanan) menyampaikan suratan hak milik kepada seorang peneroka di Dewan Semai Bakti Felda Chini Timur 3, hari ini.

“Ini juga bertujuan untuk membela mereka (peneroka) supaya dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa lagi,” katanya ketika ditemui pemberita pada program penyampaian suratan hak milik kepada 156 orang peneroka di Dewan Semai Bakti Felda Chini Timur 3, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), YB. Dato’ Seri Idris Jusoh, Ahli Parlimen Pekan, YB. Dato’ Sri Najib Tun Razak serta barisan Exco serta pemimpin setempat.

Sementara itu, beliau berkata apa yang membanggakan ialah di Pahang, ke semua peneroka yang telah menerima suratan hakmilik tanah masing-masing ini membentuk 89.63 peratus daripada keseluruhan 43,124 peneroka di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail (kanan) menyampaikan suratan hak milik kepada seorang peneroka di Dewan Semai Bakti Felda Chini Timur 3, hari ini.

Hanya 4,472 peneroka atau kira-kira 10.37 peratus daripada kesemua 43,126 peneroka di Pahang yang belum menerima suratan hakmilik tanah mereka lagi, melibatkan keluasan kira-kira 21,011 hektar daripada kira-kira 203,011 hektar di seluruh Pahang.

“Boleh dikatakan hampir 90 peratus telah mendapat suratan hak milik daripada kerajaan negeri, bakinya 10 peratus itu akan diusahakan kemudian sekiranya tiada apa masalah dan akan sampaikan kepada tuan tanah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan para peneroka agar dapat menjaga suratan hak milik tanah dengan baik dan tidak sesekali memajak atau menjualnya.

Seorang peneroka menunjukkan suratan hak milik yang diterimanya.

Katanya lagi, ini kerana tujuan asal Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan sejak di bawah Perikatan/Barisan Nasional (BN) mewujudkan Felda adalah untuk pembangunan tanah dan membela masyarakat orang Melayu khususnya yang berada di luar bandar. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download