Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin melakukan tinjauan di Taman Mentakab Indah, Temerloh yang dilanda banjir kilat.

KERAJAAN PAHANG CARI PENYELESAIAN BANJIR KILAT DI TAMAN MENTAKAB INDAH

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib

TEMERLOH, 23 OKTOBER 2020: Kerajaan Pahang akan mencari jalan penyelesaian yang komprehensif untuk menangani masalah banjir kilat di Taman Mentakab Indah di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin berkata, beliau akan membawa isu berkenaan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri.

“Saya juga minta supaya laporan dibuat segera dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pejabat Daerah perlu melakukan kerja-kerja termasuk mendapatkan bajet bagi mencari kaedah baharu seperti pembesaran longkang dan meninggikan ban,” katanya selepas melakukan tinjauan di Taman Mentakab Indah di sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin melakukan tinjauan di Taman Mentakab Indah, Temerloh yang dilanda banjir kilat.

Beliau berkata, hasil tinjauan itu mendapati terdapat beberapa perkara perlu di ambil perhatian ekoran peningkatan paras air lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Dalam pada itu beliau berkata, sebelum ini Kerajaan Pahang telah membina ban menghalang banjir melimpah ke kawasan penduduk selain membesarkan longkang untuk melancarkan aliran air.

“Bagaimanapun terdapat pemaju perumahan telah melandaikan ban yang dibina, sekaligus menyebabkan paras air meningkat setiap kali hujan lebat di kawasan berkenaan.

Keadaan longkang di Taman Mentakab Indah, Temerloh.

“Kali terakhir banjir seperti ini adalah pada tahun 2007. Taman ini dibina dibawah paras air sepatutnya tanah lembah, tanah perlu ditimbus pada ketinggian enam hingga lapan kaki lagi dari paras yang ada sekarang. Terdapat 285 pembeli rumah yang berharga kurang dari RM25,000,” katanya.

Kejadian banjir kilat di Taman Mentakab Indah Rabu lalu itu mengejutkan penduduk taman itu sehingga mereka tidak sempat menyelamatkan barang masing-masing. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download