KUANTAN, 21 JANUARI 2021: Kerajaan Pahang bercadang untuk membina masjid yang baharu bagi mengantikan beberapa masjid yang rosak teruk akibat bencana banjir yang melanda negeri ini sejak awal bulan ini.
Keseluruhan di Negeri Pahang terdapat 615 buah masjid dan 40 buah daripada jumlah itu mengalami kerosakan akibat banjir manakala tujuh daripadanya telah rosak teruk.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, masjid-masjid tersebut sering kali dilanda banjir saban tahun kerana kedudukannya berhampiran dengan sungai atau paya.
Jelasnya lagi, setiap kali dilanda banjir, masjid-masjid ini pula akan mengalami kerosakan yang perlu diganti serta dibaikpulih dan keadaan ini menjadi tidak praktikal.
“Sebagai contoh Masjid Kampung Bukit Lada, kita terpaksa fikir untuk pindah ke lokasi lain sebab berada di tepi paya dan jauh dengan rumah penduduk.
“Jadi kita kena fikir bagaimana hendak pindah masjid berkenaan… Kita ada tapak yang lebih sesuai dekat dengan rumah penduduk dan lebih tinggi serta selamat jika berlaku banjir lagi,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, kedudukan masjid-masjid terlibat juga adalah jauh dari penempatan kerana masyarakat telah berpindah ke kawasan yang lebih tinggi.
Sementara itu, katanya, Kerajaan Pahang turut menghargai usaha pembersihan dan baik pulih yang dilakukan pihak masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sukarelawan ketika pasca banjir.
“Walaupun begitu NGO dan para sukarelawan diingatkan untuk sentiasa mematuhi SOP setiap kali mereka berada di lapangan,” katanya. – PAHANGMEDIA