Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

KERAJAAN PAHANG BERUSAHA ATASI MASALAH BEKALAN AIR DI RAUB DAN LIPIS

KUANTAN, 23 APRIL 2020: Kerajaan Negeri Pahang telah mengambil beberapa inisiatif bagi menyelesaikan masalah kekeruhan sumber air mentah yang mengalir ke beberapa Loji Rawatan Air (LRA) di Raub serta memastikan bekalan air mentah mencukupi sungguhpun semasa cuaca panas di Lipis.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, menerusi peruntukan RM18 juta Kerajaan Persekutuan, Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) sedang melaksanakan kerja-kerja berkaitan khususnya pembinaan ‘Pre-Sedimentation Tank’ yang melibatkan LRA-LRA Sungai Bilut, Sungai Semantan dan Sungai Klau.

Beliau berkata, matlamat utama untuk mengurangkan kadar kekeruhan tinggi pada sumber air mentah, sebelum mengalir ke ketiga-tiga LRA tersebut. Ia bagi mencapai kualiti ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seterusnya dapat membekalkan air bersih terawat kepada penduduk.

Menurutnya, projek ini dijangka mengambil masa selama 18 bulan untuk disiapkan, meliputi kerja-kerja reka bentuk dan perolehan (selama enam bulan), disusuli pembinaan selama 12 bulan).

“Sungguhpun begitu, Kerajaan Negeri Pahang akan memastikan projek ini dapat dilaksana dan disiapkan lebih cepat bagi memastikan penduduk Raub yang terkesan dengan masalah ini, dapat kembali menikmati bekalan air bersih terawat dalam tempoh lebih awal,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Beliau juga berkata, mengenai projek RM12 juta daripada peruntukan Kerajaan Negeri bagi memastikan bekalan air mentah mencukupi sungguhpun semasa cuaca panas, PAIP akan segera melaksanakan projek perintis pembinaan ‘Off River Storage’ (ORS) atau Kolam Takungan Hiliran di Lipis.

Menurutnya, menerusi kaedah ORS ini, ia juga dapat mengurangkan kadar kekeruhan tinggi pada sumber air mentah, seterusnya dapat menjimatkan kos operasi bagi kerja-kerja rawatan air di LRA.

Katanya, projek ini pula dijangka mengambil masa 19 bulan untuk disiapkan, meliputi kerja-kerja reka bentuk dan perolehan (selama empat bulan, disusuli pembinaan selama 15 bulan).

“Kerajaan Negeri berharap, projek perintis ORS ini akan dapat menjadi antara alternatif bagi menjamin keperluan air mentah mencukupi dan tidak keruh, seterusnya diproses menjadi air bersih terawat yang diperlukan oleh penduduk Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: